Foto hiasan

KOTA BHARU – PKR Kelantan sudah memiliki kerangka kerja dan strategi bagi mendekati rakyat di negeri ini sebagai persiapan awal menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, kata pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Suparadi.

Beliau berkata, kerangka kerja berkenaan antara lain mengambil kira keperluan untuk mengangkat tokoh-tokoh muda dan wanita sebagai pemimpin dalam misi menawan Kelantan pada PRU berkenaan.

“Kerangka kerja telah ada tetapi saya tidak boleh mendedahkannya dan ia akan diputuskan apabila kita berbincang dengan parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan pada 4 Nov nanti.

“Saya mahu PKR Kelantan menjuarai isu dan permasalahan masyarakat di negeri ini supaya rakyat dapat menilai serta berfikir pilihan terbaik,” katanya kepada pemberita semasa Majlis Jalinan Mesra antara Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Kelantan dengan pengamal media negeri ini di sini malam tadi.

Semalam, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar meminta pemimpin dan anggota PKR peringkat cawangan melipatgandakan usaha menambah keahlian bagi memastikan parti itu mampu memenangi kerusi di negeri ini pada PRU akan datang.

Beliau dilapor berkata, parti itu sudah mula mendapat kepercayaan di Kelantan kerana teras prinsip keadilan kepada rakyat. – Bernama

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here