Kira-kira 400 orang hadir pada Himpunan Kibarkan Jalur Gemilang di dataran Menara Condong Teluk Intan, pada Sabtu.

IPOH – Polis akan memanggil penganjur dan pihak yang terlibat dalam Himpunan Kibarkan Jalur Gemilang di dataran Menara Condong Teluk Intan pada petang Sabtu.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak telah menerima aduan dari seorang pegawai rendah polis bahawa terdapat kira-kira 400 orang berkumpul di hadapan Menara Condong, Teluk Intan.

Menurut beliau, perhimpunan berkenaan dianjurkan gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Teluk Intan dan turut kelihatan seorang individu sedang memberi ucapan tanpa pembesar suara.

“Siasatan awal mendapati individu yang memberi ucapan tersebut dalah Pesuruhjaya Pas Negeri Perak dan seramai 400 orang yang hadir terdiri daripada pimpinan Pas Negeri Perak, Pas Kawasan Teluk Intan, NGO-NGO dan penduduk setempat.

“Sebanyak lebih kurang 200 bendera Jalur Gemilang pelbagai saiz dikibarkan oleh peserta yang hadir di sekeliling Dataran Menara Condong diiringi lagu-lagu patriotik,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Azizi berkata, hasil semakan mendapati penganjur Himpunan Kibarkan Jalur Gemilang itu tidak menghantar pemakluman kepada polis bagi mengadakan aktiviti berkenaan.

Ekoran kesalahan itu, beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dengan permohonan untuk siasatan (OTI) akan dipohon bagi siasatan lanjut.

“Pihak yang terlibat akan dipanggil untuk dirakam percakapan bagi melengkapkan kertas siasatan.

“Justeri pihak polis ingin memberi amaran dan nasihat kepada orang ramai agar tidak terlibat dengan sebarang perhimpunan yang boleh menimbulkan kacau ganggu serta menggugat ketenteraman awam,” katanya.

Tambah Azizi, mana-mana individu yang didapati bersalah jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 di bawah peruntukkan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Semalam media melaporkan, kira-kira 300 orang berhimpun di Dataran Menara Condong Teluk Intan susulan isu pengibaran bendera negara China dalam sambutan Guan Gong Sedunia, Khamis lalu. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here