Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah memulakan siasatan mengenai dakwaan kewujudan kumpulan yang menjalankan aktiviti pengantunan seksual kanak-kanak di akaun media sosial, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

Beliau berkata siasatan dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada Jumaat lepas berhubung kewujudan kumpulan berkenaan yang menjalankan aktiviti menerusi hantaran di aplikasi X.

Razaruddin berkata siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Siber (Internet) Terhadap Kanak-Kanak Malaysia (MICAC) Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Unit MICAC D11 sudah memulakan proses risikan dalam talian dan menyalurkan beberapa maklumat suspek kepada pihak MCMC untuk dibuat profiling awal sementara risikan dalam talian diteruskan bagi menimbulkan elemen yang lebih kukuh mengenai kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.

“Bahagian D11 bersama MCMC sedang menjalankan risikan dan siasatan lanjut ke atas maklumat itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengesahkan MCMC ada menerima aduan mengenai kewujudan kumpulan pengantunan seksual kanak-kanak di akaun media sosial dan suruhanjaya itu sedang bekerjasama dengan Meta dan polis bagi melakukan siasatan lanjut. – BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here