Sorok puluhan kotak minyak masak paket bersubsidi sebanyak 935 kilogram (kg) di dalam stor penyimpan di sebuah kedai terbongkar dalam operasi di Jalan Permaisuri, Bandar Permaisuri, Cheras, kelmarin. - Foto Ihsan KPDN WPKL

KUALA LUMPUR – Cubaan menyorok puluhan kotak minyak masak paket bersubsidi sebanyak 935 kilogram (kg) di dalam stor penyimpan di sebuah kedai terbongkar dalam operasi di Jalan Permaisuri, Bandar Permaisuri, Cheras, di sini kelmarin.

Operasi bersepadu itu dijalankan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersama KPDN Melaka susulan aduan pengguna yang diterima menerusi sistem e-aduan kementerian terbabit.

Menurut KPDN WPKL, pasukan penguat kuasa telah menjalankan siasatan ke atas premis terbabit dengan membuat proses uji beli (test purchase) secara  samaran menerusi Ops Samar sebelum serbuan dijalankan.

“Semasa uji beli dilakukan, jurujual memaklumkan minyak masak paket telah habis dijual sekaligus menimbulkan rasa curiga dan tidak puas hati dengan alasan yang diberikan oleh jurujual itu.

“Kemudian, penguat kuasa KPDN WPKL beruniform memasuki premis itu dan bertemu dengan lelaki dikenali sebagai penyelia di permis terbabit.

“Hasil pemeriksaan secara menyeluruh di premis perniagaan mendapati puluhan kotak minyak masak paket di dalam stor penyimpanan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan itu, pasukan telah menyita minyak masak paket satu kilogram bersubsidi dalam polibeg sebanyak 935kg dengan nilai rampasan dianggarkan RM2,524.50 dengan tindakan dikenakan dibawah Seksyen 16 (1) (b) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Katanya, operasi bersepadu itu juga merupakan inisiatif baharu kerajaan, iaitu Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (GEMPUR) diumumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali pada 19 Oktober lalu.

 “Inisiatif yang dikenali sebagai KITA GEMPUR adalah satu langkah strategik kerajaan untuk membina gerakan massa bagi menangani isu manipulasi dalam aktiviti perniagaan dan ketirisan yang melibatkan barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi. 

“Pihak KPDN juga menggesa masyarakat untuk bersama-sama menyokong inisiatif KITA GEMPUR dan menjadi sebahagian daripada gerakan massa agar aktiviti yang merugikan rakyat dan negara dapat dibanteras,” jelasnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here