Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bercakap pada Sidang Media Khas ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Auditorium Ibu Pejabat SPRM, Wilayah Persekutuan, PUTRAJAYA. Foto AIZAT ZAINAL, 18 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyambut baik usaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang memasukkan elemen anti rasuah dalam sistem penilaian Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bermula tahun ini.

Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, langkah tersebut penting untuk memperkukuhkan integriti, tadbir urus, dan tata kelola bagi merealisasikan sistem perkhidmatan awam yang cekap, bersih, dan berkesan.

“Merujuk laporan media pada 26 Oktober 2024, sebanyak 12 PBT telah mengalami penurunan taraf dalam Sistem Penarafan Bintang (SPB-PBT) selepas elemen anti rasuah dimasukkan dalam sistem penilaian tersebut dan SPRM yakin inisiatif ini akan mempertingkatkan ketelusan dalam prestasi PBT,” katanya menerusi kenyataan.

Sehubungan itu katanya, SPRM bersedia memberi sokongan dari segi khidmat nasihat dan latihan bagi memastikan penubuhan Unit Integriti di setiap 156 PBT seluruh negara selaras dengan keperluan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (PPSM) Ceraian 1.2.1:  Penubuhan Unit Integriti (UI) di semua Sektor Awam seperti yang disarankan dalam Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS).

Setakat ini, hanya 49 PBT telah menubuhkan Unit Integriti masing-masing.

Dalam masa sama, Azam menggesa penubuhan Unit Integriti di setiap PBT diberikan keutamaan.

Jelasnya, penubuhan unit itu penting bagi membendung salah laku jenayah serta pelanggaran tatakelakuan dan etika di peringkat agensi.

“Untuk tujuan ini, Unit Integriti perlu melaksanakan enam Fungsi Teras Ul dengan berkesan iaitu Tadbir Urus; Pengukuhan Integriti; Pengesanan dan Pengesahan; Pengurusan Aduan; Pematuhan; dan Tatatertib,” tambah beliau.

Katanya, Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA) SPRM akan membantu menyelaras pelaksanaan fungsi Ul di samping menyediakan dasar dan mekanisme pengurusan Ul bagi agensi-agensi awam.

“Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), sebuah institusi bertaraf antarabangsa di bawah SPRM turut memainkan peranan penting dalam menyediakan program latihan berkaitan pencegahan rasuah dan integriti,” kata Azam. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here