Agihan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) kluster agama bermula hari ini dan akan diagihkan secara berperingkat ke lapan lagi daerah lain.

KUANTAN – Sebanyak 124 buah masjid dan surau solat Jumaat di negeri ini menerima  peruntukan RM1.24 juta menerusi Bantuan Prihatin Pahang (BPP).

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, bantuan itu juga diagihkan kepada komuniti pondok serta maahad, mualaf, pelajar tahfiz dalam menyemarakkan agenda dakwah.

”Sebanyak RM130,000 diberikan kepada 65 pondok dan maahad di mana setiap darinya menerima RM2,000. Tidak ketinggalan golongan mualaf mendapat RM200 seorang melibatkan 124 penerima dengan RM86,2000,” katanya dalam kenyataan.

Manakala seramai 2,823 pelajar tahfiz mendapat RM100 seorang melibatkan sumbangan RM282,300.

Ujar Syed Ibrahim, usaha memastikan golongan berkenaan tidak tercicir menerima bantuan dan sebagai sokongan memperkasakan syiar Islam dalam kalangan rakyat di negeri itu.

Tambahnya, agihan BPP Kluster Agama sudah bermula dan akan diadakan sebanyak lapan siri ke daerah lain yang akan dikendalikan oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

Majlis Pelancaran dan Penyampaian BPP bagi masjid, surau Solat Jumaat, surau, maahad tahfiz, pelajar tahfiz dan mualaf bagi bagi daerah Kuantan telah disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here