Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 18 peratus atau 57,276 penerbangan daripada keseluruhan 315,388 jumlah penerbangan berjadual dibatalkan tahun ini setakat Ogos lalu.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, sebagai perbandingan, pembatalan penerbangan berjadual sepanjang tahun lalu pula adalah sebanyak 90,696 atau 20 peratus daripada keseluruhan 444,234 jumlah penerbangan.

Sementara itu, tambah beliau, sebanyak 24 peratus atau 61,014 daripada 258,116 penerbangan yang dioperasikan oleh syarikat- syarikat penerbangan di negara ini ditangguhkan antara Januari hingga Ogos tahun ini.

Ujarnya, daripada jumlah itu, sebanyak 55,024 penerbangan ditangguhkan kurang dua jam dari waktu pelepasan yang dijadualkan dan selebihnya iaitu 5,990 penerbangan ditangguhkan melebihi dua jam.

Jelas beliau, antara punca kelewatan penerbangan adalah disebabkan oleh operasi syarikat penerbangan seperti penggiliran pesawat dan anak kapal serta keadaan luar biasa dan isu teknikal.

“Manakala punca pembatalan penerbangan adalah disebabkan komersial seperti muatan rendah (poor loads), masalah operasi syarikat penerbangan seperti kekurangan anak kapal, ketibaan lewat pesawat, putaran pesawat (aircraft rotation), keadaan luar biasa seperti cuaca, kawalan trafik udara dan masalah teknikal seperti Aircraft On Ground (AOG),” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, tambah Hasbi, bagi pengguna Malaysia Airlines Berhad (MAB) yang terjejas akibat pembatalan penerbangan telah ditawarkan peruntukan semula tiket penerbangan menerusi beberapa pilihan.

Antaranya, jelas beliau, penumpang akan diperuntukkan semula tiket penerbangan pada sehari sebelum atau selepas penerbangan asal atau penerbangan berikutnya yang tersedia.

“Sekiranya penerbangan MAB tidak tersedia, maka peruntukan tiket baru menggunakan syarikat penerbangan yang lain akan disediakan.

“Setelah penumpang dimaklumkan tentang pelan peruntukan semula berkenaan, penumpang masih mempunyai pilihan sama ada untuk menerima, mengubah suai atau meminta bayaran balik,” katanya.

Tambah beliau, pembatalan sementara bagi penerbangan yang terjejas dari bulan Ogos hingga Disember tahun ini sudah dimaklumkan kepada para penumpang dan segala proses pemakluman itu kebanyakannya telah selesai.

“Kini, MAB beroperasi seperti biasa dan hanya membatalkan penerbangan apabila berlaku force majeur iaitu apabila keperluan untuk membatalkan penerbangan jika ia melibatkan keselamatan berpunca dari cuasa buruk atau nasihat dari penguatkuasa penerbangan tempatan dan antarabangsa di antara laluan udara tertentu,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast