Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad bersama ahli Parlimen Kerajaan menunjukkan buku dapatan Tinjauan Kesihatan Orang Asli (OAHS) 2022 di Parlimen, hari ini.

KUALA LUMPUR – Tinjauan Kesihatan Orang Asli (OAHS) 2022 yang dilancarkan Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini mendapati dua dari lima kanak-kanak yang berusia bawah lima tahun dari golongan asal itu menghadapi masalah bantut.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata, Orang Asli dari suku kaum Negrito mendiami kawasan pinggir bandar menunjukkan kadar bantut dalam kalangan kanak-kanak yang tinggi dengan mencatatkan 61.5 peratus.

“Kanak-kanak bantut bagi Negrito yang mendiami kawasan pedalaman pula sebanyak 58.8 peratus. Sebaliknya kadar itu jauh lebih rendah sehingga 38.1 peratus bagi kanak-kanak suku kaum Melayu Proto yang tinggal di bandar,” katanya berucap merasmikan Dapatan Tinjauan Kesihatan Orang Asli 2022 di Parlimen hari ini.

Menurut Dr Zulkefly, masalah bantut turut dihadapi kanak-kanak berusia antara lima hingga 17 tahun di mana satu dari tiga kanak-kanak suku kaum Negrito di kawasan pedalaman mencatatkan masalah tumbesaran itu pada kadar 48 peratus.

“Masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak suku kaum Melayu Proto jauh lebih rendah kadarnya yang tinggal di bandar,” katanya.

OAHS 2022 yang dijalankan Institut Kesihatan Umum (IKU) meliputi semua populasi Orang Asli yang menetap di unit kediaman bukan berinstitusi dari Julai hingga September 2022.

Sebanyak 68 dari 843 kampung Orang Asli dari lapan negeri di Semenanjung telah dipilih secara rawak dan seramai 15,950 Orang Asli telah mengambil bahagian dalam tinjauan itu dengan kadar respons keseluruhan sebanyak 89.9 peratus.

Antara topik tinjauan itu ialah kesihatan ibu dan anak, penyakit tidak berjangkit, penyakit berjangkit, status pemakanan, kebersihan diri dan sanitasi, penggunaan perkhidmatan jagaan kesihatan, status kesihatan mulut dan gigi serta pencemaran alam sekitar.

Selain itu, katanya, OASH 2022 juga mendapati, kanak-kanak yang berumur antara 12 hingga 23 bulan mempunyai vaksinasi yang lengkap sehingga 60.7 peratus berdasarkan Program Imunisasi Kebangsaan dan disahkan melalui rekod kesihatan.

“Melayu Proton merupakan suku kaum Orang Asli yang mempunyai kadar vaksinasi tinggi sebanyak 67.6 peratus dan diikuti Senoi sebanyak 60.9 peratus yang tinggal di pinggir bandar.

“Sebaliknya suku kaum Negrito yang berada di kawasan pedalaman mencatatkan kadar vaksinasi rendah iaitu 36.5 peratus,” katanya.

Sementara itu, Dr Zulkefly memberitahu, satu dari dua wanita berumur atau 99.1 peratus antara 15 hingga 49 tahun mempunyai pengetahuan mengenai perancangan keluarga dengan menggunakan kontraseptif moden.

Melayu Proto merupakan suku kaum Orang Asli mempunyai kesedaran tinggi tetang perancang keluarga hingga 56.5 peratus, diikuti Negrito (56.1%) dan Senoi (54%) di pedalaman.

“Sebaliknya kesedaran itu masih rendah dalam kalangan Melayu Proto yang duduk di bandar dengan mencatatkan 35.8 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, OASH 2022 juga mendedahkan majoriti Orang Asli tidak mengetahui mereka menghidap penyakit tidak berjangkit seperti penyakit kencing manis sebanyak 16.1 peratus, tekanan darah tinggi (31.5%) dan kolestrol tinggi (45.8%).

Katanya lagi, lebih membimbangkan apabila pengambilan alkohol dan penggunaan tembakau agak tinggi dengan 41.1 peratus, meminum alkohol secara berlebihan dan 46.8 peratus pula minum alkohol sehingga memudaratkan kesihatan.

“Manalala 12.5 peratus Orang Asli ini berkemungkinan mengalami masalah ketagihan alkohol, sebanyak 31.4 peratus pula adalah perokok dan 2.3 peratus pengguna rokok elektronik atau vape pada masa sekarang,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here