Sebahagian daripada 59 anggota bomba daripada 11 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) seluruh negeri Melaka terlibat pada program pengujian bot dan peralatan menyelamat di air sebagai persediaan Bulan Kesiapsiagaan Bencana Banjir Monsun Timur Laut (MTL) di Melaka hari ini.

KUALA LUMPUR – Sejumlah 66,042 anggota dan 10,540 aset Polis Diraja Malaysia (PDRM), RELA, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) di seluruh negara bersiap siaga bagi persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL), dijangka bermula awal bulan November 2024.

Kementerian Dalam Negeri berkata,  fenomena MTL biasanya akan membawa hujan lebat beserta angin kencang dan berisiko menyebabkan kejadian banjir serta banjir kilat di kawasan terbabit.

Daripada jumlah tersebut, PDRM akan mengatur gerak sejumlah 17,216 anggota sumber manusia beserta 9,936 aset pelbagai jenis.

Manakala RELA pula bersedia dengan sejumlah 47,100 anggota beserta 457 aset dan diikuti dengan APMM seramai 1,726 anggota dan 147 aset bersedia untuk diatur gerak di seluruh negara.

Antara peranan yang akan dilaksanakan oleh anggota ketiga-tiga agensi terbabit termasuklah pemindahan mangsa, kawalan keselamatan dan trafik di tempat bencana, rondaan dan pemantauan kawasan berisiko bencana, penugasan di pusat pemindahan sementara, penugasan di pusat pangkalan bekalan hadapan, operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) dan penugasan pasca bencana banjir.

Selain itu, PDRM juga akan bertindak sebagai Komander Operasi Bencana seperti yang ditetapkan dalam Arahan NADMA No. 1: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara.

KDN menasihatkan seluruh rakyat Malaysia yang berisiko terkesan akibat bencana banjir untuk sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia, sentiasa berwaspada dan bertindak mengambil langkah sewajarnya bagi mengelakkan perkara yang tidak diigini berlaku.

Kementerian juga ingin mengingatkan orang ramai supaya patuh kepada arahan pihak berkuasa bagi melancarkan operasi bantuan dan menyelamat mangsa-mangsa banjir. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here