Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang individu bergelar Datuk disyaki menjadi dalang skim penipuan pelaburan peti sejuk beku yang mengakibatkan beberapa mangsa rugi RM275,000.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, berkata, pihaknya menerima aduan bahawa mangsa dijanjikan pulangan dividen yang tinggi.

“Namun, janji-janji manis yang diberikan oleh syarikat berkenaan tidak ditunaikan, malah mangsa tidak menerima sebarang pulangan seperti yang dijanjikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Modus operandi yang digunakan syarikat terbabit adalah dengan menawarkan pembelian peti sejuk beku kepada mangsa sebelum syarikat tersebut membeli semula produk berkenaan pada harga yang lebih tinggi.

Mangsa juga diberitahu bahawa peti sejuk beku tersebut akan digunakan di pasaraya tempatan dan mereka akan mendapat komisen bulanan daripada penggunaannya.

“Sehingga kini, para pengadu masih belum menerima sebarang bukti bahawa peti sejuk beku tersebut benar-benar digunakan di pasaraya.

“Tambahan pula, syarikat terbabit gagal menyediakan dokumen pengesahan yang menyokong kewujudan pelaburan yang didakwa,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa mangsa telah cuba mendapatkan komisen yang dijanjikan, namun gagal berbuat demikian.

Syarikat juga katanya, tidak memberi maklum balas positif dan mengelak daripada memberikan sebarang penjelasan.

“Tindakan ini menunjukkan kemungkinan besar syarikat tersebut tidak bertanggungjawab dalam menguruskan dana yang diterima daripada pelabur.

“Syarikat terbabit mungkin telah melanggar beberapa peruntukan di bawah Akta Skim Kepentingan 2016, termasuk keperluan pendaftaran skim dan pelantikan pemegang amanah.

“Hal ini menimbulkan syak bahawa skim pelaburan yang dijalankan adalah tidak sah dan menyalahi undang-undang,” tambahnya.

Hishamuddin memberitahu bahawa syarikat berkenaan mungkin melakukan aktiviti pengubahan wang haram yang boleh didakwa di bawah Akta Anti-Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Anti-Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Beliau menasihatkan masyarakat agar meneliti latar belakang syarikat sebelum membuat sebarang pelaburan dan melaporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti penipuan. – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here