Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh

KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Rakyat petang ini tegang selepas Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh mendakwa mempunyai perbualan menerusi aplikasi WhatApps antara Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul berkaitan tender pembekalan makanan kepada anggota keselamatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Nik Muhammad Zawawi (PN-Pasir Puteh) mendakwa dalam perbualan dengan seorang pegawai itu, terdapat bahagian yang menyebut `bahagian Datuk pun ada…’ seolah-olah memperlihatkan wujud elemen rasuah atau salah guna kuasa dalam urusan tender tersebut.

Terdahulu, beliau membangkitkan isu berkenaan pemberian tender pembekalan makanan kepada ATM antara syarikat yang dikaitkan dengan Syed Abu Hussin Hafiz dengan syarikat Felda D’Saji Sdn. Bhd. (D’Saji).

Dakwanya, terdapat ura-ura syarikat yang dikaitkan dengan Syed Abu Hussin Hafiz bakal mendapat tender tersebut sedangkan D’ Saji disifatkan lebih layak melihat kepada prestasi syarikat milik kerajaan itu yang mempunyai model yang berjaya di Mekah dan Madinah.

“Ini satu benda yang tidak sepatutnya wujud dalam konsesi tender dan seumpamanya…benda ini sangat keji.

“Saya harap D’Saji diberi peluang oleh kerajaan untuk kendalikan perkara ini (pembekalana makanan kepada ATM) dan mudah-mudahan D’Saji yang di bawahnya ada peneroka Felda yang ramai akan dapat manfaat daripada tender ini…bukan diberikan kepada individu yang mendapat manfaatnya hanya seorang,’” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun, dakwaan Nik Muhammad Zawawi itu mendapat bantahan Dr. Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) yang  menjelaskan peraturan Dewan Rakyat di mana seseorang ahli Parlimen tidak boleh mengeluarkan kenyataan berbentuk sangkaan jahat kepada ahli Parlimen lain.

Apatah lagi, ujar beliau, kenyataan itu juga tidak disertakan dengan satu bentuk dokumen yang sah sebagai bukti seterusnya menuntut Nik Muhammad Zawawi menarik balik dakwaan tersebut.

Bantahan sama turut disuarakan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang menyifatkan dakwaan Nik Muhammad Zawawi adalah tuduhan yang serius kepada Syed Abu Hussin Hafiz kerana bersifat fitnah.

Sehubungan itu, beliau mencabar Nik Muhammad Zawawi mendedahkan dokumen perbualan WhatApps terbabit kepada Dewan Rakyat menerusi satu usul.

“Sekiranya YB Pasir Puteh tidak berbuat demikian dan hanya pakai hentam, buat tuduhan, saya tuntut supaya tarik balik kenyataan itu…ini satu penghinaan,” katanya.

Bagaimanapun, dalam tindakan mempertahankan diri, Nik Muhammad Zawawi berkata, beliau tidak menuduh secara membabi-buta sebaliknya hanya meminta kerajaan meneliti perkara itu memandangkan kandungan WhatApps tersebut diterima dari sumber yang disifatkan sangat kuat.

Bagi meredakan keadaan, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul kemudiannya mencadangkan supaya Nik Muhammad Zawawi membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dakwaan itu berdasarkan maklumat yang dimiliki beliau.

“Ini kerana kalau berucap di sini sahaja itu menunjukkan kita tidak gentleman…bawa ke polis dan SPRM supaya siasatan dapat dilakukan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan Syed Abu Hussin Hafiz mengemukakan usul untuk menghadapkan Nik Muhammad Zawawi ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen sekiranya berasa teraniaya disebabkan fakta yang tidak benar daripada pendedahan tersebut.

Bagaimanapun ketika perkara itu dibangkitkan, Syed Abu Hussin Hafiz tidak ada dalam Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here