KUANTAN – Dua pelajar Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) meninggal dunia setelah motosikal dinaiki terbabas di Jalan Pintasan Kuantan, Semambu, di sini, tengah malam tadi.
Kejadian pukul 12.20 malam itu meragut nyawa Muhamad Nor Iman Mahadi, 20, beralamat di Kota Bharu, Kelantan dan Muhammad Adib Suhail, 20, dari Kangkar Pulai, Johor.
Ketua Polis Daerah Kuatan, Asisten komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, kedua-dua mangsa menaiki motosikal jenis Yamaha 135 LC dalam perjalanan dari arah bandar Kuantan menghala ke arah Taman Dato Rashid.
“Ketika motosikal dinaiki mangsa melewati Loji Rawatan Air Semambu, penunggang motosikal dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke atas jalan raya,” katanya dalam kenyataan.
Kedua-dua mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat dihantar di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi proses bedah siasat.
Mohd Zahari berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette