Menteri Digital, Gobind Singh Deo pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR – Industri permainan digital Malaysia mencatat hasil jualan dan eksport sebanyak RM45 juta melalui dana yang telah disediakan oleh kerajaan sehingga tahun ini sejak 2014.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, sumbangan itu sekali gus membuktikan industri permainan digital di Malaysia memiliki potensi yang besar untuk dimajukan melalui sokongan kerajaan dalam akses pasaran, inkubator, persidangan, bengkel, program up-skilling dan re-skilling serta banyak lagi.

Tambah beliau, sepanjang tempoh sama juga, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah diberikan peruntukan Dana Kandungan Digital sebanyak RM163 juta bagi menjalankan dan menyelia bantuan kewangan kepada industri animasi, permainan digital, komik digital dan juga kandungan teknologi kreatif.

“Sehingga kini, sejumlah 60 buah projek telah diluluskan oleh MDEC dengan jumlah keseluruhan dana sebanyak RM36.7 juta bagi pembangunan permainan digital, meliputi platform komputer, konsol dan mudah alih.

“Kesemua projek ini juga telah berjaya mewujudkan lebih daripada 700 peluang pekerjaan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah Gobind, bagi meningkatkan promosi dan pemasaran permainan digital tempatan, MDEC juga telah menyediakan platform dan peluang bagi syarikat-syarikat untuk meneroka akses pasaran.

Antara pasaran permainan digital yang sering disertai, kata beliau, termasuk Games Developer Conference di Amerika Syarikat, Tokyo Game Show di Jepun, China Joy di China, Gamescom di Eropah dan banyak lagi.

“Syarikat-syarikat permainan digital juga berpeluang untuk mempromosikan produk mereka serta menjalinkan hubungan perniagaan dengan penerbit dan pengedar permainan digital di peringkat serantau dan antarabangsa.

“Permainan digital tempatan turut dipromosikan dalam acara-acara tempatan seperti Jelajah Saya Digital, Malaysia Digital Content Festival, Comic Fiesta dan sebagainya,” kata beliau. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here