KUANTAN – Kerajaan negeri telah bersiap siaga bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka melanda negara tidak lama lagi.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bencana banjir melanda negeri ini setiap tahun dan ia menjadikan kerajaan sentiasa berwaspada dan bersedia dalam apa jua keadaan.

“Oleh sebab ini boleh dikatakan sebagai peristiwa tahunan bagi kerajaan negeri menghadapi banjir ni, jadi kita memang bersiap siaga lah.

“Dan saya sendiri pun memantau persediaan ini dan alhamdulillah baru ni banjir di Temerloh kita dapat menyalurkan bantuan segera, tidak ada aduan daripada mangsa-mangsa banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2024 peringkat Negeri Pahang, di sini, hari ini.

Wan Rosdy turut menyeru kepada mereka yang terjejas akibat banjir supaya mematuhi arahan daripada pihak berkuasa dan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dengan segera jika diarahkan berbuat demikian.

Dalam masa sama, katanya, jika mereka telah berpindah ke PPS, mereka dinasihati tidak pulang ke rumah selagi belum mendapat arahan daripada pihak berkuasa.

Sementara itu, pada majlis hari ini, beliau memberitahu, BPP terbabit akan diagihkan kepada 700 buah masjid dan surau kebenaran Jumaat, 200 buah pusat ma’ahad tahfiz/pondok serta 8,800 orang pelajar tahfiz/pondok dan 5,000 orang muallaf di seluruh negeri ini.

“Masjid dan surau yang mendapat kebenaran Jumaat akan menerima RM10,000 setiap satu, dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM7 juta.

“Bagi maahad tahfiz pula, Kerajaan Negeri akan memberikan RM2,000 setiap satu kepada 200 pusat tahfiz, dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM400,000,” katanya.

Selain itu, seramai 8,800 orang pelajar tahfiz akan menerima bantuan RM100 setiap seorang, dengan jumlah keseluruhan RM880,000, manakala bagi muallaf pula, bantuan sebanyak RM200 diberikan setiap seorang kepada 5,000 penerima, dengan jumlah keseluruhan membabitkan RM1 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast