Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada majlis Peluncuran Pembangunan Perumahan Residensi Madani Putrajaya ketika di Presint 7, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 28 OKTOBER 2024.

PUTRAJAYA – Sesebuah kerajaan tidak akan jatuh sekiranya membantu rakyat miskin, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya, beliau berkata, sesebuah kerajaan itu jatuh disebabkan kerana pemimpinnya melakukan amalan rasuah, penyelewengan, tamak haloba, tidak mengawal kepimpinan serta mengaut harta yang bukan hak mereka.

“Belum pernah tercatat dalam sejarah mana-mana pemerintah itu kalau jatuh kerana membantu rakyat miskin atau menaikkan gaji yang sepatutnya upah yang adil, tak pernah.

“Kerajaan jatuh kerana rasuah, penyelewengan tamak haloba, itu kita elak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Tujuh Projek Residensi Madani di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa dan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Sebanyak 4,000 unit Residensi Madani Putrajaya dijangka siap dibina menjelang tahun 2028.

Tujuh projek Residensi Madani itu terletak di Presint, 5, 7, 11, 16 dan 19 Wilayah Persekutuan Putrajaya iaitu Resdensi Madani Sentral, Serunai, Cemara, Cengkih, Cempaka, Mawar dan Melur.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau telah mengambil langkah berani apabila menaikkan gaji penjawat awam selepas ia tidak dilakukan kajian sejak 12 tahun lalu.

Katanya, beliau turut menekankan kerja kuat yang boleh dilakukan serta melaksanakan sesuatu dengan lebih bertanggungjawab.

“Saya ambil keputusan berani, kos tinggi, peningkatan kos gaji ini RM10 bilion, tapi pendapat saya mudah , ini simple basic economics.

“Saya tak pernah baca pengalaman sejarah sama ada Islam, China, purba, sejarah India, Arab, Amerika bahawa kerajaan ini jatuh kerana banyak membantu orang miskin, saya tak pernah dengar,” ujarnya.

Pada Ogos lalu, Perdana Menteri telah mengumumkan berita gembira buat penjawat awam apabila mereka bakal menikmati kenaikan gaji sebanyak 15 peratus iaitu kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara.

Pelaksanaan itu dilakukan dalam dua fasa mulai 1 Disember 2024.

Sebelum ini jumlah paling tinggi kenaikan gaji adalah pada kadar 13 peratus.

Oleh itu, kerajaan Madani memastikan kadar kenaikan kali ini lebih tinggi daripada itu dengan membabitkan peruntukan mencecah lebih RM10 bilion.

Bagaimanapun, kenaikan gaji penjawat awam melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) adalah berdasarkan prestasi dan tidak secara automatik.– MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here