Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak berkompromi dalam isu keselamatan pesawat meskipun ramai jurutera penerbangan negara memilih bekerja dengan syarikat penerbangan lain atau berhijrah ke luar negara.

Malah, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, kerajaan juga melahirkan keyakinan tinggi kepada kepakaran dan kemahiran jurutera penerbangan tempatan dalam memastikan keselamatan penumpang udara.

Jelas beliau, insiden pembatalan penerbangan atau penerbangan yang berpatah balik tidak seharusnya dilihat sebagai aspek kelemahan syarikat penerbangan semata-mata sebaliknya perlu dilakukan bagi memastikan keselamatan penumpang terjamin.

Malah, beliau turut berkongsi pengalaman yang mana penerbangannya dari Kuching ke Limbang pernah dilencongkan ke Miri kerana masalah skrin yang dihadapi oleh juterbang, sekali gus menunjukkan bagaimana syarikat penerbangan tidak akan memperjudikan aspek keselamatan penumpang udara.

“Pembatalan penerbangan atau penerbangan berpatah balik perlu dibuat juruterbang atas pelbagai aspek antaranya mungkin disebabkan masalah teknikal pesawat atau cuaca dan sebagainya.

“Kita yakin dengan kebolehan jurutera kita di bawah syarikat penerbangan negara ketika ini, mereka tidak mengambil mudah, malah meletakkan aspek keselamatan pesawat dan penumpang sebagai keutamaaan,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Hasbi menjawab soalan tambahan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) berkenaan sama ada insiden pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang berpatah balik yang berlaku beberapa kali sebelum ini adalah disebabkan kekurangan pakar jurutera penerbangan negara yang berhijrah ke syarikat penerbangan antarabangsa lain.

Sementara itu, Hasbi berkata, penghijrahan  jurutera penerbangan tempatan ke syarikat penerbangan antarabangsa bukan disebabkan kebajikan mereka diabaikan, sebaliknya kerana mendapat tawaran yang lebih baik di syarikat lain.

“Tetapi dalam negara kita sendiri, kita berusaha melahirkan dan melatih lebih ramai lagi jurutera penerbangan baharu untuk memastikan kita tidak akan ketandusan bakat-bakat profesional yang dapat menjaga sektor penerbangan kita,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast