Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 28 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Situasi semasa ancaman keselamatan di Sabah adalah terkawal menerusi atur gerak pengoperasian aset dan anggota pasukan keselamatan dan penguat kuasa serta pelaksanaan pelbagai inisiatif keselamatan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, antaranya menerusi pelaksanaan Operasi Sanggah di bawah seliaan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Selain itu, jelasnya, keselamatan di Sabah juga dijamin menerusi Operasi GASAK Laut dan Darat bagi membanteras elemen-elemen yang mempunyai kaitan dengan anasir asing, militan dan tali barut.

Turut dijalankan, tambah beliau, Operasi Bersepadu dan Operasi Bersepadu Khas bagi menguatkuasakan undang-undang terhadap elemen-elemen jenayah rentas sempadan.

Dalam masa sama, ujarnya, kerajaan turut menggerakkan Operasi Pangkalan Pemeriksaan di Laut atau Sea Check Point melalui penguatkuasaan ke atas pergerakan kapal-kapal bukan konvensional dan bot-bot nelayan negara jiran di laluan khas yang ingin menjalankan aktiviti perdagangan barter trade atau transhipment di Sabah dan Labuan.

“Kedudukan strategik negeri Sabah yang bersempadan dengan negara Filipina dan Indonesia secara langsung mendatangkan ancaman keselamatan seperti penyeludupan barangan dan senjata, kemasukan pendatang haram, kumpulan ekstremisme dan ancaman penculikan untuk tebusan (Kidnapping For Ransom).

“Dalam hal ini, kerajaan melalui pasukan keselamatan negara seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan ESSCOM sentiasa komited untuk memelihara kedaulatan dan meningkatkan  keselamatan serta ketenteraman awam di negeri Sabah,” katanya dalam sesi pertanyaan di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Shahelmey Yahya (BN-Putatan) berkenaan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam  mengawal sempadan Sabah, Shamsul Anuar berkata, pihak keselamatan negara juga tidak ketinggalan dalam mengintegrasikan aspek tersebut dengan kesiapsiagaan fizikal negara.

Jelas beliau, teknologi AI ketika ini digunakan untuk menganalisis data bagi mengesan pola dan potensi ancaman yang mungkin berlaku di Sabah.

“Selain itu, teknologi AI juga digunakan untuk melaksanakan pengesanan ancaman awal melalui algoritma sistem yang diguna pakai oleh APMM menerusi Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) yang boleh mengesan tanda-tanda awal aktiviti yg mencurigakan.

“Data-data ini kemudiannya akan dikongsi dengan pelbagai pihak pihak berkuasa lain supaya pengesanan awal dapat dilakukan,” katanya.

Sementara itu, kepada soalan tambahan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) berkenaan kejayaan ESSCOM dalam memastikan kawalan sempadan di Sabah, Shamsual Anuar berkata, ESSCOM telah memainkan peranan besar dalam memastikan keselamatan zon selamat di Sabah timur daripada elemen pencerobohan asing dan militan.

Sebagai bukti, katanya, sejak 2020 sehingga kini, tiada insiden penculikan dilaporkan berlaku di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Selain itu, tambah beliau, setakat 31 Ogos lalu juga, sistem SWASLA telah merekodkan 11,180 pengesanan di wilayah itu dengan 184 merupakan sasaran mencurigakan, manakala 21 tangkapan berjaya dilakukan.

“Secara umumnya, kita akan terus meningkatkan keupayaan kita walaupun kejayaan telah diperoleh, namun dengan ancaman yang ada, kita sentiasa berwaspada, kesiapsaagaan kita sentiasa berada pada tahap cukup tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here