Fadhlina (tengah) hadir Forum Jaringan Industri Ke Arah Kemampanan TVET KPM di Batu Kawan, Pulau Pinang hari ini.

BATU KAWAN – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperhebat kerjasama dengan pihak industri untuk meningkatkan minat pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, langkah tersebut adalah sebahagian daripada reformasi pendidikan untuk memastikan lebih ramai pelajar memilih STEM, sejajar dengan sasaran kerajaan sebanyak 60 peratus.

Jelas beliau, dalam usaha itu, KPM turut melibatkan pelajar dari sekolah rendah hingga ke peringkat teknik dan kolej vokasional.

“Kaunselor yang terlatih akan memainkan peranan penting dalam memberi bimbingan kepada pelajar supaya mereka mendapat sokongan penuh ketika memilih laluan pendidikan dalam bidang STEM.

Fadhlina Sidek.

“Jadi sebab itu intervensi sedang kita laksanakan di bawah agenda reformasi pendidikan dan memberikan tumpuan kepada segmen-segmen tersebut (STEM).

“Ini bagi memastikan peningkatan berlaku dengan lebih baik lagi khususnya dalam konteks STEM dan anak-anak kita mesti juga dibantu oleh kaunselor-kaunselor terlatih untuk memastikan bahawa mereka mendapat sokongan sepenuhnya ketika memilih jurusan STEM itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai Forum Jaringan Industri Ke Arah Kemampanan TVET KPM di sini, hari ini.

Forum yang membuka ruang bagi memperkukuhkan sinergi antara sektor pendidikan dan industri dalam memperkasa program TVET itu dianjurkan bersama Bahagian Pendidikan Dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV) dan Malaysia Semiconductor Industry Association (MSIA).

Mengulas lanjut Fadhlina berkata, meskipun Pulau Pinang terkenal sebagai hab teknologi tinggi namun kadar pelajar yang memilih STEM hanya mencapai 52 peratus.

“KPM juga sedang memperkasa program latihan untuk guru melalui inisiatif “upskilling” dan “reskilling” agar guru lebih berpengetahuan dalam kemahiran industri.

“Langkah ini penting bagi memastikan guru dapat menyampaikan pembelajaran relevan sekali gus mempersiapkan pelajar untuk keperluan pasaran kerja yang kian berkembang,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here