Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Nepal didakwa menculik kanak-kanak lelaki berusia dua tahun di Kampung Bunga Raya, Rawang, Selangor pada 22 Oktober lalu dipercayai merindui anaknya.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, keadaan itu menyebabkan suspek berusia 38 tahun itu mula berkelakukan kurang siuman.

“Motif kejadian setakat ini kerana suspek merindukan dua orang anaknya yang lebih kurang sebaya mangsa dan kali terakhir suspek pulang ke Nepal bertemu keluarganya pada Hari Raya Aidilfitri 2023.

“Bagaimanapun, suspek telah dirujuk ke bahagian psikiatrik di Hospital Sungai Buloh dan menunggu keputusan,” katanya secara ringkas dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, tempoh reman suspek telah berakhir pada 26 Oktober lalu dan polis menyemak semula dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

“Ia bagi semakan lanjut berhubung pas keluar masuk dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) namun suspek kini disambung ditahan di bawah kesalahan imigresen” jelasnya.

Terdahulu, tseorang lelaki warga Nepal menyamar sebagai tukang cuci yang cuba menculik kanak-kanak lelaki berusia dua tahun di Kampung Bunga Raya gagal apabila ditahan penduduk.

Kejadian itu turut tular di Facebook apabila beberapa video memaparkan lelaki itu diikat serta ditahan orang awam berhampiran lokasi kejadian.

Mohd Hafiz melaporkan, susulan itu suspek direman empat hari sehingga 26 Oktober bagi membantu siasatan lanjut dan motif kejadian masih dalam siasatan.

Katanya, suspek memiliki pasport dan PLKS namun kita masih menunggu keputusan dari Jabatan Imigresen samada ia sah atau tidak. – MalaysiaGazette

Lelaki Nepal diikat selepas cuba culik kanak-kanak dua tahun

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here