Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul

KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila Speaker, Tan Sri Johari Abdul meminta ahli-ahli Parlimen agar tidak memanggil korum untuk perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 pada waktu Maghrib.

Johari berkata, perkara itu timbul selepas Ahli Parlimen Pengkalan Chepa-PN, Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary bertindak memanggil korum pada sidang Dewan Rakyat, 21 Oktober lalu.

“Saya difahamkan, oleh kerana saya tiada dalam Dewan pada 21 Oktober lalu, Isnin pada jam 7.30 malam, Pengkalan Chepa telah mohon untuk panggil korum.

“Saya tahu ini ialah hak Ahli Yang Berhormat untuk panggil korum, tapi saya mohon oleh kerana waktu itu waktu Maghrib, waktu Maghrib sangat sempit, kalau boleh, saya tidak kata tak boleh, kalau boleh jangan panggil korum waktu Maghrib.

“Sebab kawan-kawan tengah sembahyang sana, bila bunyi loceng, dia rasa terganggu, sama ada dia tinggalkan sembahyang atau masuk (dewan).

“Saya tak perlukan jawapan, saya mohon sangat-sangat jangan call korum waktu Maghrib sebab waktu Maghrib itu waktunya amat sempit,” katanya sebelum membuka perbahasan RUU Perbekalan 2025, di Dewan Rakyat, hari ini.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Pengkalan Chepa bangun dan memberitahu ketika kejadian, hanya seorang sahaja Ahli Parlimen sedang berada di surau dan tindakan beliau memanggil korum tidak sepatutnya menjadi isu.

“Saya menghormati nasihat daripada Tan Sri dan saya pun bersama dengan naratif itu, tapi apa yang berlaku pada hari tersebut di surau itu hanya ada seorang ahli Parlimen.

“Kalau dikatakan ramai di surau menunaikan Maghrib, ketika itu 7.40 petang, dah nak masuk Isyak,” katanya.

Sebaliknya Johari memberitahu, tindakan memanggil korum pada waktu Maghrib seelok-eloknya dielakkan kerana ramai yang sedang menunaikan solat di banyak tempat dan bukannya hanya di surau semata-mata.

“Saya tak perlukan apa-apa jawapan, saya cuma minta jangan call korum waktu Maghrib sebab sembahyang tak semestinya berlaku di surau, ada sembahyang di bilik dan surau kita banyak

“Waktu itu waktu Maghrib, saya minta cukup, saya nak panggil sekarang, saya tidak benarkan lagi (mencelah dan pertanyaan), duduk semua,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here