Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul bercakap kepada media pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 28 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Parlimen Malaysia merupakan antara institusi perundangan tertinggi yang pertama di dunia menggunakan tenaga elektrik berasaskan sistem solar.

Perkara itu diumumkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul selepas Timbalan Perdana Menteri II merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof menjawab pertanyaan soalan tambahan pada sesi Parlimen, hari ini.

“Mulai 1 Oktober tahun ini, Parlimen ini sendiri tenaga yang digunakan ialah tenaga solar, jadi kita di antara Parlimen terawal di dunia yang menggunakan sistem solar.

“Terima kasih kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi serta Kementerian Kewangan atas inisiatif ini,” katanya ketika mempengerusikan sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Aminuddin Harun meminta Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyatakan perancangan kerajaan untuk program pendidikan dan kesedaran meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai kepentingan peralihan tenaga dan penglibatan golongan muda dalam usaha memperkasa peralihan tenaga dan kelestarian.

Dalam pada itu, Fadillah memberitahu, kerajaan dalam rangka mewujudkan dasar solar negara bermula dengan pemasangan panel solar di atas bumbung menerusi projek perumahan yang sedang dibangunkan Sime Darby Property Bhd.

“Pemilik-pemilik itu nanti akan mendapat sewaan dan diuruskan oleh syarikat perumahan itu sendiri, ini salah satu pendekatan kita untuk meletakkan solar di bumbung

“Akhirnya ia akan bekalkan kepada grid dan hasilan itu akan dikongsi termasuk membiayai kepada pemilik-pemilik rumah.

“Perumahan-perumahan baharu ini sedang dibuat secara pilot projek di bawah Sime Darby dan Insya-Allah berjaya nanti akan dijadikan dasar untuk digunakan di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Fadillah berkata, kerajaan tiada rancangan untuk memberikan rebat pemasangan panel solar bagi golongan berpendapatan rendah (B40) kerana mereka sudah diberikan rebat tarif elektrik.

“Untuk B40, sebenarnya di bawah program kerajaan, mereka mendapat peruntukan di mana mereka dapat rebat tarif elektrik, jadi kita tidak memberi pengkhususan untuk mereka meletakkan solar di rumah dan sebagainya sebab penggunaan mereka sebenarnya agak kecil.

“Untuk melabur solar, ianya tidak memberi pulangan yang baik, lebih sesuai kita beri rebat kepada mereka dan tidak memberi fokus mereka meletakkan solar di bumbung-bumbung rumah mereka.

“Pendekatan kita sekarang ini merangkumi semua lapisan masyarakat dan pendekatannya ialah perbezaan apakah bantuan kerajaan kepada setiap kumpulan itu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast