Seorang gadis maut dalam perjalnan ke tempat kerja selepas motosikal ditunggang dirempuh MPV di Jalan Masai Lama, Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Seorang gadis maut dalam perjalnan ke tempat kerja selepas motosikal ditunggang dirempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu warga asing di Jalan Masai Lama di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, semasa kejadian pada pukul 10.30 pagi itu mangsa sedang menuju Taman Perindustrian Desa Cemerlang di sini.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, tiba-tiba mangsa berusia 22 tahun yang menaiki motosikal Yamaha Ego Avantiz dilanggar sebuah MPV Naza Citra.

“MPV itu dipandu lelaki warga asing berusia 39 tahun datang dari arah bertentangan yang masuk ke laluan motosikal kerana sedang memotong kereta lain di jalan tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, akibat perlanggaran tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian anggota badan dan disahkan meninggal dunia ditempat kejadian.

“Kematian mangsa disahkan pegawai perubatan Hospital Sultan Ismail (HSI) yang hadir di tempat kejadian sebelum mayat mangsa dibawa ke HSI untuk dibedah siasat,” katanya.

Menurut beliau, lelaki warga asing itu ditangkap dan hasil ujian saringan air kencing mendapatinya bebas daripada pengaruh dadah.

Mohd Sohaimi memberitahu, permohonan reman akan dilakukan di Mahkamah Majistret di sini.

Tambahnya, kes disiasat dibawah Seksyan 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 menyebabkan kematian kerana memandu melulu dan berbahaya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here