Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan meneruskan pelaksanaan baucar buku bernilai RM100 bagi pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tempatan untuk fasa kedua bermula 30 Oktober 2024.

Menurut kenyataan KPT, program itu dijangka memberi manfaat kepada lebih sejuta pelajar warga Malaysia, bertepatan dengan usaha kementerian untuk memupuk budaya membaca dan menambah akses kepada bahan bacaan akademik.

“Baucar boleh ditebus secara digital melalui portal MySISWAPLACE, iaitu pelantar rasmi yang dikendalikan oleh Yayasan Perkasa Siswa (YPS) di bawah KPT.

“Setiap pelajar IPT yang aktif sehingga 31 Mac 2024 layak menerima baucar yang boleh digunakan bagi pembelian buku secara eksklusif di MySISWAPLACE,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kod yang dijana hanya sah digunakan untuk transaksi di portal tersebut, membolehkan pelajar menebus baucar bernilai RM100 untuk pembelian bahan bacaan akademik yang disediakan di pelantar dalam talian berkenaan.

Tambahnya, majlis peluncuran rasmi portal MySISWAPLACE diadakan esok oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

“Inisiatif baucar buku ini juga dijangka mampu memacu industri penerbitan buku akademik dan wacana ilmiah tempatan, menjadikan MySISWAPLACE sebagai sumber rujukan yang dipercayai bagi pelajar IPT.

“Diharap fasa kedua ini adalah kesinambungan dari pemberian baucar yang telah dilaksanakan pada Jun lalu, yang mana ia berjaya menarik minat ribuan pelajar dalam menyokong aktiviti pembelajaran mereka,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here