Lim Lip Eng

KUALA LUMPUR – Jenayah kewangan yang melibatkan kecurian dengan jumlah besar daripada perbendaharaan awam atau individu merupakan kesalahan berat tidak layak untuk menjalani hukuman tahanan di rumah.

Lim Lip Eng (PH-Kepong) berkata, walaupun pesalah jenayah bukan kekerasan termasuk warga emas, ibu mengandung dan orang kurang upaya layak ditahan di rumah namun jenayah kewangan lebih keji dan memberi kesan buruk.

“Kes bekas Perdana Menteri kita, (Datuk Seri) Najib Razak, berbilion ringgit yang diseleweng daripada negara oleh beliau dan rakan subahat merupakan pengkhianatan besar terhadap kepercayaan rakyat serta tamparan hebat kepada ekonomi kita.

“Sekiranya jenayah ini tidak dihentikan pada 2018, Malaysia mungkin kini di ambang kebangkrapan.

“Kita perlu menghantar mesej jelas bahawa pemimpin korup tidak akan dilepas daripada hukuman penjara walaupun jenayah mereka tidak melibatkan kekerasan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Wakil rakyat DAP itu juga menyeru kerajaan dalam pengumuman berhubung RUU Tahanan Di Rumah tidak memberikan penjenayah kewangan ini menjalani hukuman tahanan di rumah.

“Mereka yang disabitkan kesalahan jenayah kewangan melibatkan berjuta-juta ringgit termasuk kesalahan rasuah, penipuan, scam, ponzi, pelaburan palsu dan skim cepat kaya adalah tidak layak untuk tahanan di rumah.

“Kita tak boleh membiarkan pesalah-pesalah ini lepas daripada tindakan mereka dengan berselindung di sebalik status jenayah kekerasan.

“Kita mesti memastikan keadilan ditegakkan dan mengembalikan kepercayaan rakyat,” tegasnya.

Menurutnya, adalah tidak adil membiarkan penjenayah kewangan menjalani hukuman di rumah sedangkan rakyat biasa mengeluh dengan kehidupan seharian.

“Sudah tentu ada bantahan besar daripada masyarakat sekiranya ahli politik, pegawai kerajaan yang korup dan pihak yang telah menipu berjuta-juta ringgit layak untuk menjalani hukuman di rumah.

“Kelonggaran ini akan memberi mesej salah kepada orang korup dan penipu pada masa hadapan bahawa mereka masih boleh menikmati kehidupan mewah di rumah walaupun selepas ditangkap dan disabitkan kesalahan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here