Seorang wanita maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh lori ketika berhenti di lampu isyarat Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah- Jasin (AMJ) dekat Sungai Petai, Alor Gajah, Melaka pagi tadi.

ALOR GAJAH – Seorang wanita maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh lori ketika berhenti di lampu isyarat Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah- Jasin (AMJ) dekat Sungai Petai, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa, Rabiatul Adawiyah Swetha Abdullah, 34, yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss maut ditempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata ketika kejadian, mangsa yang bekerja sendiri dalam perjalanan dari arah bandar Melaka menuju ke Alor Gajah sebelum berhenti di lampu isyarat berkenaan.

“Nahas dipercayai berlaku apabila sebuah lori jenis Hino milik sebuah syarikat penghantaran dipandu lelaki berusia 28 tahun
merempuh motosikalnya dari arah belakang sebelah kanan mangsa.

“Akibatnya, wanita itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala sebelum mayat dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, siasatan di tempat kejadian mendapati terdapat kesan geseran, darah dan serpihan komponen kenderaan di jalan tiga lorong berkenaan.

“Bagaimanapun, tiada rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi dan polis meminta saksi bebas yang melihat kejadian untuk tampil membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here