Tengku Muhammad dan pasangannya, Tengku Natasya Puteri tersenyum manis pada Istiadat Persandingan yang berlangsung pada malam tadi

KUANTAN – Istiadat persandingan diraja Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, dan pasangannya, Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan berlangsung dengan penuh tradisi di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz di sini, pada malam tadi.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang menggayakan persalinan berwarna kelabu pada istiadat berkenaan.

Turut berangkat Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan paduka-paduka adinda serta kerabat bergelar.

Seramai 16 orang Jejawat Lilin masuk ke Balai Mahkota sebelu Tengku Natasya Puteri yang tampil anggun dalam busana berona putih dengan kilauan hiasan dibawa tepat jam 8.40 malam.

Tengku Muhammad kemudian dibawa masuk ke Balai Mahkota bersama Sirih Lat-Lat yang kemudiannya diserahkan kepada Tengku Natasya Puteri sebagai tanda Istiadat Bersanding bermula.

Istiadat dimulakan dengan menyuap nasi semangat atau pulut kuning kepada pasangan pengantin oleh kekanda Sultan Pahang, Datuk Tengku Muhaini Sultan Ahmad Shah.

Selepas itu Al-Sultan Abdullah berkenan memulakan istiadat merenjis pasangan pengantin diikuti Sultanah Nur Zahirah serta Tengku Hassanal Ibrahim.

Acara merenjis pasangan pengantin dimulakan dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta isteri, Datin Seri Burhah Mohammed.

Istiadat Persandingan diakhiri dengan upacara meletak pancabicara atau peralatan istiadat yang digunakan dalam istiadat perkahwinan serta istiadat-istiadat diraja yang lain oleh Al-Sultan Abdullah di atas kepala pasangan pengantin.

Keberkatan istiadat persandingan yang berlangsung dipohon melalui bacaan doa oleh Mufti Pahang Professor Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim sebelum pasangan pengantin diraja meninggalkan Balai Mahkota untuk sesi bergambar di Balai Panglima.

Pasangan pengantin kemudiannya menuju ke Balai Bendahara bagi majlis memotong kek dan menikmati jamuan makan bersama semua jemputan yang hadir. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here