Ketua Pegawai Eksekutif Planworth, Kuek Andy menerima trofi daripada Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, R. Ramananan.

KUALA LUMPUR – Syarikat pembiayaan kewangan, Planworth mengukir sejarah apabila menerima Anugerah Enterprise 50 (E50) pada majlis anugerah yang berlangsung pada Sabtu lalu.

Anugerah berprestij itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakrishnan sebagai pengiktirafan kepada pencapaian cemerlang syarikat dalam membantu ke arah pembangunan negara.

Majlis turut dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Planworth, Datuk Kuek Andy, penerimaan anugerah berkenaan merupakan penghargaan besar kepada usaha syarikatnya namun beliau menegaskan bahawa kejayaan dipandu hasil daripada penyertaan pelanggan yang pelbagai.

“Kami tidak berniaga semata-mata untuk anugerah. Keutamaan kami adalah membantu lebih ramai perniagaan tempatan mengurus aliran tunai mereka dengan lebih baik, sama ada syarikat kecil atau syarikat besar,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, syarikatnya percaya kepada konsep memberi bantuan dengan ikhlas dan menikmati kejayaan bersama pelanggan yang dibantu dengan objektif memperkasakan dan mengembangkan perniagaan mereka secepat mungkin.

“Membantu keperluan kewangan dan menggembangkan perniagaan pelanggan adalah satu penghormatan buat Planworth.

“Perniagaan yang berkembang mengkukuhkan ekonomi negara seterusnya memberi banyak peluang kepada orang ramai dari segi pekerjaan, perniagaan dan lain- lain,” ujarnya.

Anugerah E50 yang diterima menandakan kejayaan besar usaha pasukan pengurusan syarikat tersebut dan mengesahkan peranan mereka sebagai rakan strategik kepada pertumbuhan perniagaan tempatan sekaligus memberi sumbangan penting kepada pembangunan ekonomi negara.

Tahun lalu sahaja, Planworth telah mengeluarkan pembiayaan kewangan sebanyak RM500 juta dan menyasarkan peningkatan kepada RM700 juta pada tahun ini.

Secara keseluruhan semenjak penubuhan syarikat, Planworth telah menyuntik pelaburan mencecah RM2 bilion dan bakal menjangkau RM3 bilion ke dalam ekonomi negara.

“Kami membantu perniagaan yang tidak hanya mempunyai rekod kewangan yang baik tetapi juga yang menghadapi masalah kewangan termasuk yang memiliki rekod kewangan kurang baik dengan institusi kewangan lain.

“Kami percaya setiap orang berhak mendapat peluang kedua dan mempelajari sesuatu yang penting daripada pengalaman lepas.

“Selain bantuan kewangan, pihak kami turut memberi khidmat nasihat kepada usahawan agar mereka bukan sahaja mengembangkan perniagaan mereka tetapi menguruskan aliran tunai dengan baik,” tambah Kuek Andy lagi.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, kejayaan syarikatnya hari ini adalah hasil daripada usaha dan kepercayaannya kepada kakitangan syarikat yang sudah dianggap seperti sebuah keluarga.

Disoal tentang perancangan masa depan syarikatnya, Kuek Andy berharap Planworth akan terus kekal sebagai peneraju nombor satu dan institusi kewangan bukan bank terbesar di Malaysia.

Planworth menyediakan Solusi Modal Kerja melalui pembiayaan invois, pembiayaan belian, pengurusan modal kerja,
pinjaman berjangka, kredit pusingan, pengurusan penghutang secara konvensional dan Islamik untuk bisnes perniagaan kepada perniagaan (B2B) dan perniagaan kepada kerajaan (B2G).

“Saya berharap syarikat akan terus menjadi jaguh Malaysia yang berkembang ke rantau ASEAN termasuk cawangan di Singapura yang telah memenangi beberapa anugerah utama industri,” katanya.

Planworth mempunyai kaitan langsung dengan The Grand Columbia Group yang telah beroperasi sejak tahun 1992 dengan nilai aset melebihi bilion ringgit. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here