Syahredzan Johan

KUALA LUMPUR – Seorang pemimpin DAP mengingatkan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria supaya tidak menangguk di air yang keruh dengan terus membakar sentimen berhubung suatu perhimpunan di Teluk Intan, Perak, baru-baru ini.

Syahredzan Johan berkata, adalah lebih baik sekiranya Razman dan Pas menjadi pembangkang yang bertanggungjawab dan konstruktif di Perak dan peringkat Persekutuan, bukannya menjadi batu api kepada perpecahan rakyat.

Katanya, media semalam melaporkan Razman telah mengeluarkan kata-kata menghasut perpecahan berkait perhimpunan di Teluk Intan itu.

“Dalam perhimpunan tersebut, Razman telah dirakam membuat rujukan kepada mereka yang “matanya macam ini, kulit macam ini, darah dia macam kita semua”.

“Ucapan ini jelas merupakan ungkapan yang menyemai benih kebencian dan menghasut perpecahan dengan mengambil kesempatan terhadap insiden pengibaran bendera China dalam suatu upacara keagamaan yang disertai oleh penganut dari pelbagai negara.

“Sebelum ini, Razman telah jelas memfitnah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dengan mengaitkannya dengan insiden tersebut walaupun sebenarnya Saudara Nga berada di Kuala Lumpur.

“Jelas bahawa Razman dan Pas hanya menangguk di air yang keruh dengan terus membakar sentimen walaupun pihak polis sedang menyiasat insiden tersebut,” katanya yang merupakan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP menerusi kenyataan.

Mengulas lanjut, Syahredzan yang juga Ahli Parlimen Bangi turut mengingatkan, Razman dan Pas bahawa Malaysia ini adalah milik bersama, walau apa pun perbezaan raut wajah serta warna kulit, semua adalah anak pertiwi yang dicintai.

“Malangnya, Pas dan PN (Perikatan Nasional) sudah terbukti tidak berupaya untuk menjadi ejen perpaduan rakyat, malah terus memainkan isu kaum dan agama demi kepentingan politik mereka,” dakwanya.

Terdahulu, media melaporkan Razman menggesa pihak berkuasa menyiasat insiden tular bendera China dikibarkan, dengan mendakwa ia berlaku ketika Pesta Tanglung Teluk Intan yang turut dihadiri Kor Ming dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Woo Kah Leong, 13 September lalu.

Bagaimanapun, kejadian terbabit disahkan bukan berlaku ketika Pesta Tanglung, sebaliknya pada Sambutan Guan Gong Sedunia.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, penganjur perarakan itu sudah dipanggil untuk dirakam keterangan.

Beliau dipetik berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan 1949 kerana mengibarkan bendera asing di tempat awam, dan Seksyen 4(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana melanggar syarat permit.

Perarakan berunsur keagamaan dan membabitkan kereta berhias itu dilaporkan berlangsung dari pukul 8 hingga 11.30 malam itu disertai kira-kira 400 penonton. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here