Razali Kassim menyaksikan penyerahan siap kerja bagi projek menaik taraf sistem penyaman udara dan pembaikan pendawaian elektrik di Kompleks JPJ Pahang oleh pihak Jabatan Kerja Raya Pahang hari ini.

KUANTAN – Kerja-kerja menaik taraf sistem pengudaraan dan pendawaian elektrik di bangunan Kompleks Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang siap sepenuhnya dalam tempoh empat bulan.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, kerja pembaikan tersebut telah menelan kos sebanyak RM850,000.

Jelasnya, penyerahan siap kerja bagi projek menaik taraf sistem penyaman udara dan pembaikan  pendawaian elektrik di Pejabat JPJ Kuantan itu telah diserahkan kepada Pengarah JPJ Pahang, Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman.

”Penyerahan siap kerja bermula hari ini 28 Oktober (2024) dari Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi pelaksana kepada pihak JPJ Pahang.

”Proses penyelenggaraan dan membaik pulih bermula pada bulan Jun 2024. Alhamdulillah, isu JPJ Pahang yang panas sebelum ini selesai,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Terdahulu  27 Mac lalu, Razali turun padang meninjau pejabat berkenaan selepas dikatakan panas sehingga mengundang ketidakselesaan kepada pelanggan termasuk kakitangan JPJ sendiri.

Difahamkan, isu bekalan elektrik terkesan disebabkan kerosakan di bahagian Air Circuit Breaker (ACB) menjadikan bangunan tersebut menjadi panas membahang.

Kerosakan litar pemutus udara itu  telah menjejaskan semua sistem penghawa dingin berpusat bagi keseluruhan bangunan Kompleks JPJ Pahang.

Razali turut meninjau bilik utiliti di kompleks berkenaan untuk mendapatkan gambaran terperinci mengenai kerosakan tersebut sebelum menyumbang kipas industri bagi kegunaan sementara sebelum projek pembaikan selesai sepenuhnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here