Mohd Jafni (tengah belakang) selepas menyerahkan kunci rumah RMMJ kepada 346 pemilik di Bandar Putra, Kulai semalam.

KULAI – Mengiklankan permohonan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) dalam laman web dan media sosial tertentu untuk meyakinkan dan mengaburi mata orang ramai.

Itu modus operandi dilakukan scammer dalam memperdaya mereka yang mahu membeli rumah dengan menawarkan harga lebih murah daripada pasaran.

Scammer juga memberi syarat perlu membayar sejumlah deposit untuk mendapatnnya.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, setakat ini 20 aduan kes penipuan tersebut dikesan di negeri ini tahun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai itu memberitahu, aduan berkenaan membabitkan kerugian RM155,000.

“Scammer kini menggunakan laman web dan media sosial tertentu mengiklankan RMMJ dan perlu membayar sejumlah deposit untuk memiliki rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyerahkan kunci rumah RMMJ kepada 346 pemilik di Bandar Putra, di sini, semalam.

Jafni berkata, hanya satu laman web bagi permohonan RMMJ iaitu eRumah Johor yang dikendalikan Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) dan tiada sebarang bayaran dikenakan.

“Lebih malang lagi, ada pengadu yang sudah membuat bayaran sehingga RM10,000 dengan scammer yang menjanjikan RMMJ ini dan mereka telah membuat laporan polis,” katanya.

Katanya, kebanyakan mereka yang menjadi mangsa adalah bukan orang Johor.

“Mungkin dari Sabah, Sarawak atau luar daerah yang  scammer sasarkan untuk ambil kesempatan menipu mereka dengan menawarkan rumah,” katanya.

Jelasnya, keterujaan mahu mendapatkan RMMJ yang lebih murah daripada harga pasaran telah menarik orang ramai membuat permohonan walaupun tidak cukup syarat.

Keadaan itu ujarnya, dimaanfaatkan ‘scammer’ untuk menipu dengan menjanjikan rumah dengan meminta sejumlah deposit untuk memudahkan urusan.

Mohd Jafni mengingatkan pembeli dan pemohon bahawa segala permohonan perlu dibuat terus kepada PKPJ menerusi laman sesawang eperumahan.

“Jangan mudah tertipu dengan helah ejen atau orang tengah yang kononnya mampu tawarkan rumah dengan kenakan bayaran deposit atau jalan mudah untuk dapatkan RMMJ,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga 31 Ogos lalu, sebanyak 12,450 rumah RMMJ telah diserahkan kepada pemilik.

“Kerajaan negeri sasarkan untuk membina 30,000 unit rumah mampu milik bermula pada harga RM42,000 di seluruh negeri menjelang tahun 2026.

“Ia mampu dicapai dengan dasar perumahan Johor yang mewajibkan pemaju perumahan mematuhi dasar 60-40 bermakna dalam satu-satu pembangunan pemaju masih perlu membina rumah mampu milik yang harganya RM300,000 dan ke bawah,” katanya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here