Pengarah JSJN Narkotik, Datuk Seri Khaw Kok Chin menunjukkan barang rampasan pada sidang media di Sri Satria, Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Sindiket pengedaran dadah lumpuh dengan tertangkap dua ahlinya dalam serbuan di sebuah kondominium di Bandar Baru Seri Petaling, di sini, pada Rabu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, hasil siasatan mendapati mereka yang berusia 21 dan 25 tahun itu membawa dadah jenis syabu dan heroin yang dipercayai untuk pasaran tempatan.

“Pemeriksaan ke atas salah seorang suspek menemui empat bungkusan syabu dan enam plastik berisi heroin, manakala suspek kedua didapati membawa satu bungkusan syabu serta empat plastik berisi heroin.

“Pasukan serbuan turut memeriksa sebuah unit kondominium yang disewa oleh suspek dan menemui pelbagai bungkusan dadah, termasuk 100 bungkusan syabu dan 40 plastik heroin.

“Dadah ini dianggarkan seberat 124 kilogram syabu dan 21 kilogram heroin,” katanya dalam satu kenyataan sambil menambah pihaknya melakukan rampasan berjumlah RM4.18 juta dalam serbuan tersebut.

Menurut Kok Chin, modus operandi sindiket adalah dengan menyewa unit kondominium untuk menyimpan bekalan sebelum mengedarkannya kepada pembeli di kawasan Lembah Klang.

Tambah beliau, sindiket tersebut dipercayai mula aktif mengedar dadah sejak April lalu.

“Pihak JSJN turut merampas sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi yang digunakan untuk menghantar dadah kepada pelanggan.

“Hasil siasatan mendapati, suspek pertama bertindak sebagai penjaga stor dengan menerima upah sebanyak RM5,000 sebulan, sementara seorang lagi berperanan membantu suspek pertama hanya menerima duit belanja harian,” ujarnya.

Kok Chin berkata, pemeriksaan mendapati suspek pertama memiliki dua rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah dan jenayah lain, manakala suspek kedua tidak mempunyai rekod jenayah.

Katanya, kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 30 Oktober ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti pengedaran dadah boleh menyalurkannya melalui talian hotline di talian 012-208 7222. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here