KUALA LUMPUR – Kadar kematian berpunca dari strok akibat pendarahan atau hemorrhagic stroke semakin meningkat di negara ini dengan majoriti pesakit mengalami kecacatan kekal atau kematian.
Strok ini berlaku akibat pendarahan luar kawalan di pembuluh darah dalam otak.
Pengarah Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC), Dr. Faizul Nizam Abu Salim berkata, strok akibat pendarahan ini digelar pembunuh senyap terutamanya dalam kalangan orang muda kerana mereka mungkin tidak menyedari mengalami simptom strok awal dan ia berlaku secara tiba-tiba.
“Gejala awal adalah sakit kepala yang teruk dan mendadak terutamanya dalam jangka masa yang panjang. Pesakit perlu mendapatkan rawatan segera jika mengalami gejala ini disertai dengan gangguan penglihatan, kebas atau kesukaran untuk bercakap.
“Ini penting untuk memastikan ia dapat dikesan awal mengelakkan sebarang komplikasi yang lebih serius sekiranya intervensi bersesuaian lambat diberi,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Menurut beliau, apabila salur darah atau arteri pecah, otak akan membengkak, menyebabkan tekanan intrakranial yang tinggi di dalam kepala.
Komplikasi ini boleh menyebabkan masalah kritikal pada fungsi otak dan yang lebih teruk hingga meyebabkan kematian.
“Berbanding dengan strok iskemik yang terjadi akibat salur darah yang tersumbat, kadar mortaliti atau kematian strok pendarahan adalah lebih tinggi,” tambahnya.
Dalam kes strok iskemik, penggunaan ubat cair darah boleh digunakan untuk melancarkan aliran darah namun ia berbeza dengan strok akibat daripada pendarahan kerana risikonya lebih buruk.
“Pesakit strok ini perlu menjalani pembedahan neurosurgeri untuk memperbaiki kawasan yang pecah dan membuang darah beku.
“Walaupun ada pesakit yang pulih, ramai di antara mereka yang berubah dalam tingkah laku dan fungsi kognitif, terutamanya jika kecederaan berlaku di kawasan otak yang mengawal emosi atau percakapan,” ujarnya.
Beliau turut menekankan rawatan untuk strok akibat pendarahan bukan sahaja memfokuskan kepada pembedahan awal, tetapi juga kepada proses pemulihan jangka panjang yang melibatkan terapi untuk memulihkan fungsi yang terjejas.
“Proses pemulihan mengambil masa yang panjang dan penuh cabaran. Tidak lupa juga akan risiko komplikasi yang tinggi.
“Oleh itu, kesedaran mengenai strok ini sangat penting bagi meningkatkan peluang pesakit pulih dan memberi peluang kepada mereka menjalani kehidupan seperti biasa,” tambahnya. – MalaysiaGazette