Orang ramai melihat dekorasi kolam, seni lantai tradisional masyarakat India dengan menggunakan beras berwarna-warni sempena sambutan Deepavali ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di NU Sentral Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 27 OKTOBER 2024. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pengumuman kerajaan dengan pemberian tol percuma selama dua hari kepada pengguna lebuh raya bermula tengah malam esok sempena Deepavali pada Khamis ini disambut baik oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Ahli Dewan Negara, Dr RA Lingeshwaran melahirkan penghargaan kepada keprihatinan kerajaan bagi memastikan rakyat berbilang bangsa khasnya masyarakat India di negara dapat menggunakan lebuh raya tanpa bayaran selama dua hari.

Namun pada masa sama, pemimpin DAP itu memohon supaya kerajaan juga dapat menimbangkan satu lagi cuti umum tambahan pada hari Jumaat bagi membolehkan semua bercuti dan meraikan ‘pesta cahaya’ itu dengan lebih panjang.

“Cuti umum Deepavali pada hari Khamis tapi jika kerajaan boleh berikan satu hari lagi cuti tambahan pada hari Jumaat, pastinya ini akan memberikan lebih banyak kegembiraan pada hujung minggu dengan rata-rata masyarakat boleh anjurkan rumah terbuka serta amalan kunjung mengunjung.

“Harapnya Perdana Menteri kita, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat menimbangkan permintaan itu. Saya bersuara untuk ramai di luar sana, pastinya rakyat akan sangat gembira dengan kerajaan Madani yang sentiasa prihatin dan peduli,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Dr RA Lingeswaran.

Sebelum ini, Naib Presiden MIC, Datuk T Murugiah pernah memohon supaya kerajaan dapat menimbangkan perkara yang sama.

Hari ini, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengumumkan pengguna jalan raya yang menggunakan kenderaan persendirian akan menikmati faedah tol percuma di lebuh raya pada Selasa dan Rabu sempena sambutan Deepavali.

Kos pemberian tol percuma yang dianggarkan sebanyak RM38 juta akan ditanggung oleh kerajaan dengan bayaran pampasan dibuat kepada semua syarikat konsesi tol yang terlibat. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Makkal Sakti mohon tol percuma, kawalan harga bahan mentah sempena Deepavali

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here