Logo Global Ikhwan Services and Business Holdings.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga emas yang juga ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki 38 hasil penerbitan larangan berkaitan Al-Arqam, bulan lepas.

Aishah Bula Tajudin, 60, didakwa memiliki hasil penerbitan larangan berkaitan Al-Arqam antaranya Darul Arqam 25 Tahun Perjuangan Abuya Syeikh Imarn Ashaari Muhammad At-Tamimi, Khutbah Aidilfitri 1413 Hijrah, Siri Terkini Era kasih Sayang “Abuya Pemimpin Kasih Sayang” dan Abuya Ashaari Muhammad Pemimpin Paling Ajaib di Zamannya, tanpa sebab yang munasabah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Kampung Sungai Penchala, Brickfields di sini pada 11.30 pagi, 21 Sept lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 8 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman dalam mencadangkan jaminan RM15,000 dengan dua penjamin berkata terdapat 38 penerbitan dilarang sebagaimana diwartakan kerajaan dan pengharaman memiliki penerbitan tersebut telah diwar-warkan oleh media massa, akhbar dan televisyen.

“Selama tiga dekad pengharaman tersebut, namun masih ada individu sembunyi dan memiliki item berkenaan,” katanya.

Peguam Boestamam Ahmad yang mewakili Aishah memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya tidak bekerja dan suaminya mengalami strok.

Majistret Farah Nabihah Muhammad Dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan wanita berkenaan melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai.

Farah Nabihah menetapkan 4 Dis untuk sebutan kes.

Di Mahkamah Majistret berasingan, usahawan Ekhwan Catering yang disyaki ahli GISBH Mohammad Nazif Jamluddin, 49, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki dua hasil penerbitan larangan berkaitan Al-Arqam iaitu Perang Teluk Islam akan Kembali Gemilang dan Meruntuh Berhala di Tiongkok.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ekhwan Catering, Kampung Sungai Penchala di Brickfields di sini pada 10.30 pagi, 21 Sept lepas mengikut akta dan hukuman sama seperti Aishah.

Mohd Sabri mencadangkan jaminan RM15,000 dengan dua orang penjamin manakala Boestamam yang turut mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga.

Majistret M S Mageswary membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Dis ini untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast