Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang menjejaki seramai 199 orang lagi warga Malaysia yang dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara untuk diselamatkan.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, mereka merupakan sebahagian daripada 906 warga Malaysia yang dilaporkan menjadi mangsa sindiket itu di luar negara sejak 2020 hingga 28 Oktober lalu.

Tambah beliau, sepanjang tempoh sama, kerajaan dengan kerjasama Perwakilan Malaysia di Luar Negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menyelamatkan 707 warga Malaysia daripada sindiket itu dan membawa mereka pulang ke tanah air.

Ujarnya, jumlah mangsa yang terlibat itu adalah berdasarkan laporan yang diterima daripada waris, ahli keluarga, rakan, polis dan individu terbabit sendiri.

“Kementerian Luar Negeri akan meneruskan usaha untuk mengesan mereka dan menghulurkan bantuan yang sewajarnya.

“Sekiranya laporan telah diterima daripada mana-mana pihak termasuk ahli keluarga atau individu itu sendiri, kementerian ini melalui Perwakilan Malaysia di Luar Negeri akan mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan bantuan untuk mengesan keberadaan mereka, memudah cara untuk melepaskan atau menyelamatkan mereka daripada sindiket penipuan dan seterusnya penghantaran pulang mereka ke Malaysia,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamad (BN-Kimanis) menjawab soalan Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) berkenaan jumlah jumlah rakyat Malaysia yang telah ditipu untuk ke luar negara dan dipaksa atau terlibat dalam sindiket penipuan atas talian dalam tempoh lima tahun terkini.

Sementara itu, Mohamad berkata, pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap sindiket penipuan pekerjaan itu, termasuk memanfaatkan platform media sosial dan menerusi program-program diplomasi awam di seluruh negara.

Sebagai contoh, ujar beliau, progam Pocket Talk yang bertemakan sindiket penipuan pekerjaan telah diadakan di Kota Kinabalu, Sabah sempena Program MADANI Rakyat Zon Sabah pada 20 Oktober lalu.

“Kementerian Luar Negeri akan meneruskan usaha-usaha ini dan turut serta dalam kempen seumpama ini secara aktif kerana program-program ini dilihat sebagai titik sentuhan bersama orang awam,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dan tidak mudah terperdaya dengan iklan-iklan tawaran pekerjaan di luar negara yang menjanjikan gaji lumayan dan tidak realistik.

“Saya juga ingin memperingati orang ramai supaya jangan mengambil risiko demi tawaran gaji yang tinggi untuk pekerjaan yang tidak wujud kerana anda berkemungkinan akan meletakkan diri sendiri dalam keadaan yang amat bahaya.

“Sekiranya terdapat sebarang kemusykilan, semak tawaran pekerjaan tersebut dengan Kementerian Sumber Manusia, Perwakilan Malaysia di Luar Negeri atau pihak berkuasa yang lain,” katanya.

Kepada soalan tambahan Koo Ham berhubung berapa ramai ejen sindiket pekerjaan itu yang beroperasi di Malaysia yang berjaya ditahan, Mohamad berkata, setakat ini, seramai lima individu telah didakwa di mahkamah di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 berkait kes itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast