Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan untuk mengambil tindakan proaktif dalam menghadapi peningkatan kejadian cuaca ekstrem seperti ribut tropika dan banjir yang kian sukar diramal.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, ini susulan ramalan cuaca terbaru menjangkakan negara akan dilanda empat hingga enam episod hujan lebat dari November hingga Mac 2025, yang membawa risiko besar kepada keselamatan awam dan infrastruktur.

Katanya, angin kencang yang berterusan boleh melemahkan sistem akar pokok dari semasa ke semasa sekali gus meningkatkan risiko pokok tumbang semasa ribut.

Mohideen Abdul Kader

Sehubungan itu, jelas beliau, pihak berkaitan yang terlibat dalam projek infrastruktur perlu mengelakkan daripada menutup atau mencederakan akar permukaan pokok kerana akar yang rosak mengurangkan keupayaan pokok menyerap nutrien dan kelembapan, lalu menjejaskan kestabilannya.

“Ribut yang melanda semenanjung utara pada 15 dan 18 September lalu menyebabkan kemusnahan besar di Pulau Pinang dan kawasan sekitarnya. Kejadian ini menekankan keperluan mendesak untuk memikirkan semula strategi bagi mengurangkan kesan bencana pada masa akan datang.

“Dengan pemanasan global dan perubahan cuaca yang tidak menentu, langkah-langkah tradisional mungkin tidak lagi mencukupi untuk menangani situasi ini.

“Justeru Malaysia perlu mengambil langkah proaktif dalam menghadapi krisis perubahan iklim dengan menghijaukan kawasan bandar, sebagai contoh dengan penanaman pokok dan renek di kawasan bandar dapat membantu menyejukkan persekitaran,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut Mohideen berkata, dalam usaha menangani perubahan iklim, kerajaan perlu menumpukan kepada langkah-langkah pengurangan karbon dan penggunaan bahan api fosil.

“Kerajaan perlu meningkatkan penggunaan pengangkutan awam, mempromosikan penjimatan tenaga dan memperkenalkan konsep “bandar span” untuk penyerapan air yang lebih baik.

“Kita berharap kerajaan akan memberi perhatian yang serius kepada pengurusan pokok dan keselamatan awam dalam menghadapi cuaca yang semakin tidak menentu ini,” katanya.

Pada 18 September lalu, dua pelancong warga China maut selepas kereta yang dinaiki mereka dihempap pokok tumbang bersama bongkah konkrit sebuah bangunan heritage di Lebuh Gereja di sini.

Mayat wanita berusia 30-an itu ditemui pihak bomba di tempat duduk hadapan penumpang manakala lelaki berusia 50-an pula di bahagian tempat duduk penumpang belakang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast