KUANTAN – Kewujudan platform jualan e-dagang seperti TikTok memberi persaingan sengit kepada peniaga kedai tekstil secara fizikal sehingga mereka terpaksa akur dengan kelebihan penjual dalam talian.
Ini kerana ujar A Sivanesen, 59, pelanggan lebih memilih pakaian sambutan Deepavali menerusi aplikasi TikTok sejak dua tahun kebelakangan ini suslan perkembangan teknologi digital.
Peniaga yang lebih 30 tahun pengalaman berniaga di tengah-tengah pusat bandar raya Kuantan itu mengakui perniagaannya semakin perlahan dan kini hanya berharap kepada pelanggan tradisional yang tidak ’celik’ teknologi sahaja.
”Saya hanya bergantung kepada pelanggan yang tidak mahir dengan teknologi atau mereka tidak selesa untuk membeli secara atas talian.
“Jadi, mereka akan datang ke kedai membeli secara bersemuka tapi jumlahnya tidak ramai, jika dibandingkan dulu, apabila ramai pelanggan bersesak membeli kelengkapan raya.
”Di TikTok pelbagai fesyen terkini dan peniaga boleh jual murah kerana tiada kos perlu ditanggung, macam kami bertahan dengan kualiti kain yang ada,” katanya.
Manakala bagi peniaga bunga sembahyang, K Shiela, 53, trend pembelian pada ketika ini agak sedikit perbezaan berbanding sebelum ini di mana jualannya tidak lagi meriah seperti dahulu.
“Sekarang ini pelanggan tidak seramai dulu tapi masih ada yang membeli bunga untuk sembahyang dan mandi pada hari raya,” katanya.
K Muniandi, 40, pula berkata, walaupun keadaan situasi ekonomi tidak menentu tetapi mereka masih menerima sambutan daripada pelanggan bagi jualan muruku dan mercun yang dijualnya.
Bahkan beliau juga belum membuat persiapan Deepvali kerana masih ingin mencari duit poket terlebih dahulu.
”Setiap tahun akan berniaga di bawah kanopi sempena perayaan kini sudah hampir lapan beniaga, tahun ini jualan masih ada cuma perlahan sedikit berbanding tahun lepas.
“Sambutan pelanggan masih ada, orang Melayu pun ada beli maruku. Ada yang cuba tawar harga tetapi kita cuba bagi harga terbaik,” ujarnya.
Manakala bagi Manikam Ponel, 70, persiapan sambutan dibuat secara sederhana ekoran peningkatan kos dan hanya membeli barang keperluan untuk keluarga sahaja.
Beliau berkata hari kebesaran masyarakat Hindu itu akan disambut bersama tiga orang anak dan 10 cucunya di Semambu, di sini.
”Persiapan tahun ini tak banyak kerana harga sekarang nampak kenaikan harga tetapi raya ada walaupun belanjawan kurang sikit.
”Lagi-lagi kalau barang import dari India lagi mahal termasuk kerepek dan pakaian semua mahal,” katanya.
Sementara itu, pesara, V Shachi ,65, berkata, beliau dan keluarga sedang membuat persiapan untuk pulang ke kampung halaman di Taiping, Perak.
“Raya ini saya akan balik Ipoh dulu, naik kereta malam ini dan beli barang sikit untuk yang kirim. Setakat ini persiapan masih belum siap sepenuhnya tapi saya akan beli baju raya di Taiping kerana lebih murah dan banyak pilihan,” tambahnya.
Umardewi Tandesami, 53, berkata, persiapan awal dilakukan dan hanya menantikan kepulangan pada esok untuk merayakan Hari Deepavali di Sri Jaya, dekat Maran.
”Anak- anak semua balik, nanti akan masak kambing dan ayam. Bagi kami raya nanti cuma nak berhimpun makan sama-sama.
”Pada esok akan sembahyang dan menu vegetarian dan lusa baru makan kambing, hari ini buat persiapan beli kalung bunga untuk sembahyang,” katanya. – MalaysiaGazette