Ahli Parlime Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim

PASIR GUDANG – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim meluahkan rasa kecewa dan tidak puas hati terhadap kerajaan Madani yang didakwa berusaha mengekalkan kekuasaan termasuk menghalalkan banyak perkara, sekali gus melanggar prinsip serta perjuangan asal.

Walaupun tidak menyebut secara khusus pihak mana dalam kerajaan Madani, Hassan dipercayai menujukan sindirannya kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Harapan (PH).

Menerusi puisi dengan tujuh rangkap bertajuk ‘Aku kembali menyoal diri’, beliau menyindir dan mempersoalkan tindak tanduk kerajaan Madani ketika ini berdasarkan situasi semasa dalam negara.

Beliau secara puitis dan tersirat mendakwa, kerajaan Madani melakukan perkara-perkara pelik termasuk melepas mereka yang terlibat rasuah.

“Aku kembali menyoal diri, ke arah mana perginya perjuangan ini? Telah hilang segala roh telah lenyap cita-cita murni.

“Sekarang perkara-perkara pelik sedang terjadi. Di tengah-tengah usaha mengekal kekuasaan. Tiba-tiba banyak perkara bisa dihalalkan.

“Yang rasuah dilepaskan kemaafan si kleptokrat dialu-alukan.

“Oh, tanahairku ada diskaun dan potong harga rupanya
dalam hukuman golongan kayangan,” tulisnya dalam puisi tersebut hari ini.

Hassan turut menyentuh berkenaan isu tahanan dalam rumah selepas ini yang dikaitkannya secara halus.

“Kemudian akan ada tak lama lagi, RUU tahanan rumah akan dibentangkan di Parlimen tempat kedaulatan undang-undang dimahkotakan.

“Oh, Malaysiaku tercinta. Inikah negeri yang aku impikan? Yang bertahun-tahun kita perjuangkan,” soalnya lagi secara berkias dalam puisi tersebut.

Hassan merupakan wakil rakyat PKR yang lantang memberikan pandangan dalam kenyataan atau puisi apabila tidak bersetuju dengan keputusan dan hala tuju parti dalam beberapa isu nasional.

Bekas Pengerusi PKR Johor itu sebelum ini mempersoalkan ucapan Belanjawan 2025 baru-baru ini oleh Perdana Menteri yang menyentuh soal tahanan di rumah.

Beliau hairan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyentuh perkara tersebut dalam pembentangan belanjawan negara yang sepatutnya memberi tumpuan kedudukan kewangan dan perbelanjaan.

“Kelihatan janggal. Sepatutnya (belanjawan) bincang bagaimana untuk menambah hasil pendapatan negara, langkah untuk kurangkan hutang kerajaan dan defisit fiskal, misalnya.

“Ucapan belanjawan seharusnya menumpu soal ekonomi dan kewangan, bukannya soal reformasi undang-undang atau urusan penjara,” ujar Hassan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast