Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Hutang isi rumah naik kepada RM1.57 trilion pada Jun lalu berbanding RM1.53 trilion pada akhir 2023.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bersamaan dengan 83.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 84.2 peratus pada tahun lalu.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, bahagian terbesar hutang isi rumah terdiri daripada pinjaman perumahan iaitu 61 peratus diikuti pinjaman kenderaan (13.5 peratus).

Tambahnya, pembiayaan peribadi merangkumi 12.4 peratus dan pimjaman untuk tujuan lain seperti pembelian harta bukan kediaman, hutang kad kredit, sekuriti dan sebagainya.

“Menyedari risiko keberhutangan isi rumah yang tinggi, Kerajaan dan Bank Negara (BNM) sudah lama mengambil pendekatan yang berhemat dan berhati-hati dalam menangani risiko ini.

“Ia bagi memastikan hutang tersebut tidak menjejaskan daya tahan kewangan isi rumah serta kestabilan sistem kewangan negara,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen, hari ini.

Anwar berkata demikian menjawab soalan Onn Abu Bakar(PH-Batu Pahat) mengenai peningkatan hutang isi rumah yang kini mencecah RM1.53 trilion dan langkah Kementerian untuk memperkenalkan dasar yang lebih ketat bagi mengawal peningkatan hutang isi rumah.

Tambah Perdana Menteri, kerajaan melakukan usaha berterusan untuk mengawal hutang isi rumah dan mengukuhkan daya tahan isi rumah termasuk melaksanakan Dokumen Dasar Amalan Pembiayaan Bertanggungjawab sejak 2012 dan meningkatkan tahap celik kewangan rakyat menerusi Jaringan Pendidikan Kewangan.

Katanya, sebahagian besar hutang tertumpu kepada pembelian rumah dan kenderaan.

Oleh itu, inisiatif kerajaan untuk memastikan perumahan kekal mampu milik serta memperbaiki sistem pengangkutan awam yang lebih efisien memainkan peranan penting dalam mengawal pertumbuhan hutang secara berkesan.

Anwar berkata, langkah itu dapat mengurangkan tekanan hutang serta menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi jangka panjang.

“Selain itu, Kerajaan komited untuk mempercepatkan pembentangan cadangan Akta Kredit Pengguna yang akan mewajibkan penyedia kredit bukan bank seperti penyedia Beli Sekarang Bayar Kemudian (Buy Now Pay Later, BNPL) mematuhi standard kehematan dan garis panduan yang berkaitan.

“Ia bagi melindungi pengguna kewangan dalam skim BNPL dan mengurangkan risiko keberhutangan berlebihan terutama dalam kalangan peminjam muda dan berpendapatan rendah,” katanya.

Tambahnya, melangkah ke hadapan, Kerajaan akan terus memantau tahap keberhutangan isi rumah dan mengambil langkah yang bersesuaian untuk memastikan pertumbuhan paras hutang isi rumah tidak berlebihan dan kekal selaras dengan kemampuan peminjam. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast