KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) akan melaksanakan ujian siren Sistem Amaran Awal Tsunami Malaysia (SAATNM) esok.
Menurut MetMalaysia, ujian tersebut akan dilaksanakan di Dewan PDT, Tanjung Piandang, Perak bermula jam 10 pagi hingga 1 tengah hari.
“Penduduk di kawasan sekitar dinasihatikan agar tidak panik denga bunyi siren tersebut kerana ia merupakan suatu ujian sahaja.
“Pada masa sama, Met Malaysia akan memaklumkan jika terdapat sebarang pindaan,” katanya dalam hantaran di laman Facebook, hari ini.
SAATNM menyediakan sistem amaran awal tsunami yang berkesan dan berpaksikan rakyat atau disebut sebagai “people centred, end-to-end early warning system”.
SAATNM berperanan mengesan gempa bumi yang berlaku di rantau ini dan seterusnya mengeluarkan maklumat gempa bumi tersebut serta nasihat dan amaran jika berpotensi menjana ombak tsunami.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui agensi pelaksananya iaitu MetMalaysia diberikan tanggungjawab menyedia dan menyelaraskan sistem ini. – MalaysiaGazette