SUBANG JAYA – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman merampas 329.5 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM11 juta yang disimpan dalam rumah teres  di Bandar Bukit Puchong pada 25 Oktober lalu.

Pengarahnya, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, penemuan dadah dalam 319 bungkusan itu hasil penahanan dua lelaki iaitu ‘runner’ di kawasan Bandar Baru Sri Petaling dan Jalan Puchong Jaya.

Katanya, kedua-dua lelaki berkenaan pada mulanya ditahan pada hari yang sama pada jam 10.50 hingga 11.30 malam secara berasingan di kenderaan masing-masing.

Ketika itu, mereka dipercayai sedang menunggu stok dadah.

“Pada tarikh itu, dua pasukan JSJN Bukit Aman membuat pemeriksaan ke atas dua buah kereta yang dipercayai runner.

“Jarak di antara kedua-dua lelaki itu ditahan adalah 500 meter hingga 1 kilometer (km). Dua-dua lelaki berumur 30 dan 34 tahun dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah kemudian memandu pasukan JSJN ke sebuah rumah teres,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.

Menurutnya, siasatan mendapati sindiket yang aktif sejak awal tahun lalu itu menyewa rumah teres tersebut untuk dijadikan stor sebelum diedarkan.

Terdahulu beliau berkata, dadah yang dirampas untuk kegunaan 1.65 juta penagih dadah.

Khaw tidak menafikan bekalan dadah yang disimpan untuk dijual kepada pasaran luar.

“Seperti sebelum ini kita tahu negara sebaga transit dadah,  kita percaya dadah yang kita rampas ada dibawa masuk dari negara jiran dan ada permintaan dijual di negara luar. Kalau dibungkus semula dan dijual harganya  melambung tinggi,”katanya lagi.

Mengulas lanjut beliau berkata, kedua-dua lelaki itu mendapat bayaran antara RM5,000 hingga RM8,000 sebagai upah menjadi ‘runner’.

“Lelaki yang ditahan terdahulu mempunyai tiga rekod jenayah lampau manakala seorang lagi satu rekod jenayah,” katanya.

Katanya, kedua-dua lelaki tersebut direman selama tujuh hari bermula 26 Oktober yang lalu.

“Tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1986.

“Di mana JSJN turut menyita pelbagai aset sindiket termasuklah dua buah kereta (Proton Saga dan Hyundai Sonata) barang kemas dan alat penimbang,” jelasnya.

Beliau berkata, JSJN masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan rangkaian sindiket yang masih bebas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast