GOMBAK – Pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 665 kilometer telah mencatatkan kemajuan keseluruhan sebanyak 72.93 peratus setakat September ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bagaimanapun pembinaan projek ECRL di Selangor kini telah mencapai kemajuan sehingga 40.34 peratus.
“Ia seiring dengan jadual penyiapan projek ECRL dari Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor yang dijadualkan siap pada Disember 2026 bagi pakej pertama.
“Pakej kedua pula antara Gombak dan Pelabuhan Klang dijangka selesai sepenuhnya pada Disember 2027.
“Meskipun peratusan ini lebih rendah dari peratusan keseluruhan, saya percaya masih ada usaha yang boleh dijalankan oleh pihak ECRL untuk memastikan pembinaan ini dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya berucap merasmikan Majlis Penembusan Terowong ECRL Gombak di Batu 11 hari ini.
Menurut Amiruddin, Stesen Terminal Bersepadu Gombak telah mula pembinaan pada Jun lalu di mana majlis pecah tanah telah disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Premier Republik Rakyat China, Li Qiang.
“Stesen ECRL Terminal Bersepadu Gombak ini merupakan stesen ECRL yang pertama dibina di Selangor. Stesen penumpang ini akan memudahkan pengguna di Lembah Klang melakukan perjalanan terus dengan mudah ke negeri-negeri Pantai Timur atau sebaliknya apabila ECRL mula beroperasi kelak pada Januari 2027,” katanya.
Selain itu jajaran utama ECRL sepanjang kira-kira 92 kilometer di Selangor melibatkan pembinaan lima stesen, Terminal Bersepadu Gombak, Kapar dan Jalan Kastam di Pelabuhan Klang bagi tujuan penumpang sahaja.
“Manakala stesen Bandar Serendah dan Puncak Alam adalah stesen gabungan penumpang dan kargo.
“Jajaran sisihan sepanjang kira-kira 29 kilometer dari Jalan Kastam pula akan melibatkan kesinambungan laluan kargo ke dermaga di Northport dan Westport masing-masing,” katanya lagi. – MalaysiaGazette