Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Mohd Sabari Seman melakukan sesi Walkabout SHMMP Deepavali 2024 di Pasar Awam Sungai Besi, di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Seramai 87 anggota dan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur terlibat dalam pemantauan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2024 yang bermula semalam hingga 3 November depan.

Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Mohd Sabari Seman berkata, tempoh pelaksanaan itu akan dilakukan selama tujuh hari iaitu semasa perayaan dan tiga hari sebelum serta tiga hari selepas perayaan.

“KPDN telah menggariskan lapan jenis barangan untuk SHMMP Deepavali 2024 seperti daging kambing biri-biri bertulang import, tomato, cili merah, kelapa biji, kelapa parut, bawang merah kecil, bawang merah besar import dan kacang dal (Australia).

“Hasil pemantauan mendapati, harga kawalan masih terkawal tapi pihak kita juga telah buat teguran pada beberapa peniaga yang biasanya jual RM5 (tomato) jangan ikut harga syiling yang  ditetapkan kementerian (RM6).

“Apa telah gariskan adalah harga syiling sebagai panduan dan ini yang kita nak tekankan pada semua peniaga. Kalau sumber barangan mereka dapat jauh lebih murah sepatutnya jadi lagi murah, ini adalah demi kebaikan pengguna,” katanya.

Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Mohd Sabari Seman bercakap dalam sidang media selepas sesi Walkabout SHMMP Deepavali 2024 di Pasar Awam Sungai Besi, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas sesi Walkabout SHMMP Deepavali 2024 di Pasar Awam Sungai Besi, di sini hari ini.

Tambah Mohd Sabari, Pegawai Pematuan Harga (PPH) juga akan memantau di 98 buah premis seluruh Kuala Lumpur melibatkan 15 buah pasar basah, 10 Hypermarket dan 73 Supermarket.

“Kita ada pasukan khas yang akan memantau dan sebarang ketidakpatuhan terhadap kadar maksimum ini akan dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

“Kerajaan juga berharap semua pihak terutama peniaga dapat mematuhi harga yang ditetapkan dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya,” jelasnya.

Mengulas mengenai kebimbangan orang ramai mengenai bekalan minyak masak peket bersubsidi di Kuala Lumpur, Mohd Sabari memaklumkan ia mencukupi dan tidak terjejas.

“Bagi minyak peket di sini, pihak kami tidak meneirma sebarang aduan dan berdasarkan pengalaman kita, bekalan itu tidak menjejaskan keperluan pengguna di seluruh Kuala Lumpur,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast