GOMBAK – Pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) telah menyaksikan penglibatan lebih 3,000 syarikat tempatan terdiri daripada kontraktor, perunding dan pembekal dari 2017 hingga 30 September lalu.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, nilai kontrak yang melibatkan syarikat tempatan dalam projek ECRL telah mencecah sekitar RM17.07 bilion sekaligus mengatasi sasaran RM10.8 bilion.
“Bagi penglibatan syarikat bumiputera pula, sejumlah RM3.16 bilion atau 90.28 peratus dari sasaran RM3.50 bilion kerja-kerja sivil ECRL telah diberikan kepada kontraktor, perunding dan pembekal bumiputera.
“Malaysia Rail Link (MRL) dan CCCC akan menggembleng tenaga memastikan nilai kontrak dan penglibatan syarikat Bumiputera akan terus meningkat sehingga tamat proses pembinaan ECRL,” katanya berucap pada Majlis Penembusan Terowong ECRL Gombak di Batu 11 hari ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah dan Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia, Ouyang Yujing.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak dan Pengarah Urusan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCECRL), Kong Qi.
Menurut Shamsul Azri, antara inisiatif yang sedang diambil termasuk kerjasama dengan pihak kerajaan-kerajaan negeri yang terlibat dan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) bagi meneliti syarikat kontraktor Bumiputera dari kategori G1 dan G2.
“Ia akan membuka peluang kepada mereka untuk bersama-sama membangunkan Projek ECRL di dalam skop kerja yang bersesuaian.
“Tawaran sebut harga pakej kerja-kerja sivil Projek ECRL yang melibatkan kontraktor Bumiputera dari kategori G1 dan G2 dijangka bermula pada awal 2025,” katanya lagi. – MalaysiaGazette