Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) berjaya membantu membawa pulang seorang lelaki berbangsa India dari negara ini yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia di Laos.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, mangsa yang berusia 26 tahun itu terpedaya dengan tawaran kerja di Thailand dengan gaji RM5,000 tanpa menyedari ia perangkap oleh sindiket pemerdagangan manusia.

Menurutnya, lelaki itu yang baharu sahaja berkahwin enam bulan lepas terbang ke Thailand pada pertengahan Jun lepas dengan tiket telah dibeli oleh ‘ejen pekerjaan’ sebelum diculik ke Laos menggunakan bot selain pasportnya dirampas.

“Isteri kepada mangsa telah menghubungi MHO baru-baru ini melalui wakil kita, Azirul Syafiq Sazali bagi misi pembebasan melalui pelbagai strategi sebelum dibawa balik.

“Mangsa ini terpedaya dengan tawaran kerja di kasino di Thailand dengan gaji lumayan, dia pun baharu sahaja kahwin dan mahu bekerja keras untuk membina keluarga namun terpedaya dengan sindiket.

“Kita telah memulakan misi menyelamat dengan bantuan pihak berkuasa Thailand malah saya boleh kata misi kita di Laos ini jauh lebih mudah berbanding kes di Myanmar kerana situasi bergolak dengan konflik politik dan ancaman perang saudara,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Hishamuddin, mangsa yang berasal dari Kedah itu  berjaya pulang dengan selamat pagi tadi ke pangkuan keluarga serta dapat menyambut Deepavali.

“Pengalaman ngeri mangsa juga sangat menyedihkan kerana dia dipaksa bekerja sebagai ejen penipuan atas talian, ada skrip yang perlu ikut dan bila berkeras tidak mahu buat maka sindiket akan memaksanya berdiri 16 jam sehari dan lain-lain.

“Selama mangsa berada dalam kepungan sindiket ini juga, tidak ada apa-apa gaji dibayar. Kita juga difahamkan mangsa ditempatkan di sebuah bangunan tujuh tingkat yang turut menempatkan 30 lagi mangsa semuanya dari Malaysia,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hishamuddin juga sudah menyelamatkan dua lagi mangsa yang akan tiba lewat hari ini dan lima lagi dalam proses dokumentasi perjalanan yang diuruskan pihak kedutaan di Bangkok.

“Misi menyelamat ini lebih senang buat kita kerana MHO ada rumah perlindungan bagi menempatkan sementara mangsa di Thailand dengan makanan dan penginapan ditaja sebuah badan kebajikan dari Pulau Pinang,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast