Tertuduh, Mohd Razif bin Hassan, 35, dibawa keluar dengan diiringi mengenai wang suapan RM1000 ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 29 OKTOBER 2024.

SHAH ALAM – Seorang pegawai kanan sebuah syarikat penerbangan tempatan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan diberikan satu suapan wang berjumlah RM1,000 melalui pindahan wang atas talian pada hujung tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Razif Hassan, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Mengikut pertuduhan, Mohd Razif, telah diberikan satu suapan iaitu wang berjumlah RM1,000 melalui pindahan wang secara atas talian daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Zahrul Nizam Zakaria ke dalam akaun Maybank Islamic Berhad milik tertuduh.

Kesalahan itu dilakukan di Maybank Islamic Berhad, Bandar Tun Hussein Onn, Cheras pada 9 November 2023 sebagai balasan mempercepatkan urusan syarikat QBase Engineering milik Zahrul Nizam dengan syarikat penerbangan itu.

Tertuduh didapati telah melanggar peruntukan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) kerana gagal melaporkan penyogokan kepada pihak SPRM.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 25(1) SPRM 2009 [Akta 694] dan boleh dihukum di bawah seksyen 25(2) Akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau dipenjarakan tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Prosiding itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Yasri Yahya, manakala tertuduh diwakili peguam, Shahidah Muslimah Roslan.

Terdahulu pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat pada minggu pertama setiap bulan serta tidak mengganggu saksi kes.

Shahidah Muslimah kemudiannya memohon mahkamah mengenakan jaminan serendah RM1,000 susulan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga dengan seorang isteri sebagai suri rumah serta dua anak berusia tujuh dan tiga tahun.

Selain itu, katanya, tertuduh tidak mempunyai kemampuan kewangan jika jaminan tinggi susulan pekerjaan sebagai pegawai kanan syarikat penerbangan itu hanya memperoleh pendapatan sebanyak RM3,200 dan gaji bersih pula RM1,000 sahaja.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diberikan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin serta menyerahkan pasport dan meminta Mohd Razif berjanji untuk tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan 23 November ini sebagai tarikh sebutan kes. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast