Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri berucap pada Majlis Penembusan Terowong ECRL Gombak di Kampung Batu 12 Gombak, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 29 OKTOBER 2024.

GOMBAK – Terowong Gombak bagi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 959 meter mencapai penembusan sebulan lebih awal dari jadual, menjadikannya jajaran rel ke-36 yang berjaya ditembusi setakat ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, ia adalah komponen utama bagi membolehkan jajaran rel ECRL fasa pertama dari Kota Bharu, Kelantan hingga Terminal Bersepadu Gombak, Selangor disiapkan menjelang Disember 2026 dan beroperasi pada Januari 2027.

“Kejayaan kerja-kerja pengorekan ‘Terowong ECRL Gombak’ dengan menggunakan kaedah gerudi danِ letup boleh dibanggakan kerana ia dapat disiapkan sebulan lebih awal dari jadual.

“Ia juga membuktikan keupayaan pasukan projek dalam menangani cabaran dari segi kejuruteraan dan menerima pakai teknologi terowong yang lebih canggih,” katanya berucap pada Majlis Penembusan Terowong ECRL Gombak di Batu 11, di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari; Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah dan Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia, Ouyang Yujing.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak dan Pengarah Urusan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCECRL), Kong Qi.

Terowong ECRL Gombak sepanjang 959 meter bagi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) telah mencapai kejayaan penembusan dan menjadikan terowong ECRL yang ke 36 telah selesai bagi kerja pengorekan ketika di Kampung Batu 12 Gombak, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 29 OKTOBER 2024.

Menurut Shamsul Azri yang juga pengerusi MRL, letupan terakhir di Terowong Gombak telah menembusi penghadang terakhir kira-kira 38 meter dari pintu masuk terowong.

Beliau memberitahu, pencapaian ini adalah hasil keseluruhan kira-kira 5,813,560 jam tenaga kerja dengan menggunakan kaedah “gerudi dan letup” yang menembusi kebanyakannya granit lapuk.

“Lapisan kekal untuk Terowong Gombak telah mencapai tahap kemajuan sepanjang 892 meter sebelum majlis hari ini.

“Terowong ini mempunyai purata ketinggian 12 meter dan kelebaran 13 meter, sekaligus menyediakan ruang untuk landasan berkembar tolok standard apabila siap kelak.

“Kerja-kerja pengorekan untuk Terowong Gombak telah dimulakan pada Jun 2023 dan dijadualkan selesai pada suku keempat 2024. Semua kerja-kerja sivil pula dijangka siap menjelang Mac 2025,” katanya.

Selain itu, katanya, pembinaan terowong ini akan membolehkan landasan kereta api ECRL mematuhi kecerunan maksimum 0.9 peratus serta mengurangkan penebangan hutan terbuka yang ketara di kawasan Batu 11 Gombak.

“Kerja-kerja pengorekan terowong merupakan antara kerja-kerja utama projek ECRL sepanjang 665 kilometer yang merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

“Dengan adanya pembinaan terowong serta laluan bertingkat di lokasi strategik di sepanjang jajaran ECRL, maka geometri landasan membolehkan kelajuan kereta api penumpang mencecah sehingga 160 km/j dan 80 km/j bagi kargo.

“Sehubungan itu, kereta api ECRL dapat beroperasi tanpa terjejas walaupun hujan lebat dan banjir melanda pada musim tengkujuh terutamanya di negeri-negeri Pantai Timur,” katanya.

Projek ECRL merangkumi pembinaan 41 terowong sepanjang 69 km, di mana 21 terowong terletak di dalam Seksyen A (Kota Bharu-Dungun) dan Seksyen B (Dungun-Mentakab), manakala baki 20 terowong terletak di Seksyen C (Mentakab-Port Klang).

Dari 20 terowong ECRL di Seksyen C, sebanyak sembilan terowong terletak di dalam Selangor termasuk Terowong Serendah 1 sepanjang 3.50 km dan Terowong Serendah 2 sepanjang 9.85 km yang sedang dalam kerja pengorekan.

Sementara itu, katanya, projek ECRL telah mencatat kemajuan sebanyak 72.93 peratus bagi keseluruhan jajaran melibatkan empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor setakat September lalu.

“Seramai kira-kira 21,700 pekerja kini terlibat dalam pelaksanaan kerja-kerja ECRL di sebanyak 500 tapak pembinaan yang aktif, di mana kemajuan projek infrastruktur nasional ini didorong oleh pengorekan terowong, pemasangan rasuk jejambat, pemasangan landasan, pembinaan stesen, pembinaan depot kereta api dan pembinaan sistem elektrifikasi.

“Mesin pemasangan trek model ‘CCPG-500A’ِ termodenِ dariِ China telah memulakanِ pemasanganِ landasanِ ECRL sejak Disember 2023.

Sehingga kini, kerja-kerja pemasangan landasan untuk jajaran utama sepanjang 267kilometer dari Maran di Pahang hingga ke Kuala Terengganu telah berjaya disempurnakan.

“Dengan penggunaan teknologi ini, kerja-kerja pemasangan dapat dilaksanakan dengan lebih pantas dan efisien iaitu pada purata 1.5 kilometer sehari.

“Ini terbukti apabila kemajuan kerja-kerja pemasangan landasan telah mendahului jadual asal yang dirancang, sekaligus membolehkan pemasangan landasan dari Kuala Terengganu hingga ke Kota Bharu dapat dimulakan dengan lebih awal dan dijangka dapat disempurnakan pada suku pertama 2025,” katanya.

Katanya, kerja-kerja pembinaan sistem elektrifikasi sudah pun bermula untuk jajaran ECRL sejak Mei lalu dan akan disusuli dengan pemasangan sistem semboyan, telekomunikasi dan informasi bagi pengoperasian ECRL.

“Sebanyak 4,705 tiang Overhead Catenary System (OCS) bagi tujuan aliran elektrik telah berjaya dipasang di sepanjang jajaran ECRL di Pahang dan Terengganu setakat ini, iaitu melebihi sasaran awal yang menetapkan pemasangan 3,000 tiang OCS sahaja bagi tahun ini.

“Dengan pencapaian ini, MRL mensasarkan tahap kemajuan projek ECRL dapat mencecah 76 peratus menjelang Disember ini, seterusnya mengharapkan momentum ini akan berkekalan pada 2025,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast