KUANTAN– Pasangan pengantin diraja, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah ibni Al-Sultan Abdullah dan Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan meneruskan tradisi Istiadat Perkahwinan Diraja dengan menyempurnakan Istiadat Santap Nasi Adap-Adapan dan Istiadat Bersiram di Istana Abdulaziz di sini, semalam.
Istiadat Menyuap Nasi Adap-Adapan dimulakan selepas pasangan pengantin Diraja dibawa ke Pavilion Istana Abdulaziz pada pukul 4.35 petang sebelum istiadat disempurnakan oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Usai menyuap pasangan pengantin diraja, Istiadat Merenjis kemudiannya dizahirkan oleh Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Turut Merenjis ialah ibu bapa pengantin perempuan, Datuk Seri Utama Dr Tengku Adnan Tengku Mansor dan Datin Seri Utama Anggraini Sentiyaki.
Istiadat Bersiram menyusul selepas Istiadat Santap Nasi Adap-Adapan selamat disempurnakan di mana ia dimulakan oleh Tengku Ampuan Pahang diikuti oleh Sultanah Terengganu dan ibu pengantin perempuan.
Istiadat Bersiram diteruskan oleh Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera, ibu saudara pengantin perempuan, Raden Ayu Laksmi Notokusomo serta bonda saudara Tengku Arif Bendahara iaitu Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Tengku Tan Sri Dr. Meriam Al-Marhum Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puteri Seri Kemala Tengku Datuk Sri Hajah Aishah Al-Marhum Sultan Ahmad Shah.
Sebanyak 12 jenis air digunakan dalam Istiadat Bersiram iaitu Air Bedak Langir, Air Sungai Belat, Air Emas, Air Sungai Kuantan, Air Perak, Air Zam Zam, Air Geliga, Air Sungai Miang, Air Sungai Kenau, Air Sungai Pahang, Air Sungai Pahang Tua dan Air Sungai Pasir Kemudi.
Selain itu Penduduk Dan Pelepas Emas dan Perak, Air Tolak Bala dan Air Doa Selamat serta kelapa muda.
Penduduk dalam istiadat ini ialah dulang khas yang diisi beras, padi, kelapa, pelepas benang emas dan perak. – MalaysiaGazette