KUANTAN – Seorang penunggang motosikal maut apabila motosikal yang ditunggangnya melanggar sebuah lori yang berhenti secara tiba-tiba di bahu jalan Jalan Kuantan-Gebeng, pagi tadi.
Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa merupakan pekerja kilang Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China meninggal di lokasi nahas akibat kecderaan parah.
Hasil pemeriksaan awal, mangsa Muhammad Nazran Fahmi Nordin, 19, beralamat terakhir di Perumahan Pandan Aman 1 bagaimanapun tidak mempunyai lesen memandu.
”Siasatan awal dapati, pemandu lori dan penunggang motosikal dari arah Kuantan menghala ke arah Gebeng.
”Apabila tiba di tempat kejadian, pemandu lori telah memberhentikan kenderaan di bahu jalan menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak lalu terlanggar di belakang lori,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Hasil siasatan awal, mendapati kemalangan berlaku di atas kecuaian pemandu lori yang berhenti di bahu jalan dan menyebabkan kemalangan berlaku.
Wan Mohd Zahari berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi proses bedah siasat. – MalaysiaGaztte