Suar yang dilepaskan oleh tentera Israel di utara Nuseirat digambarkan dari Deir el-Balah di tengah Semenanjung Gaza lewat pada 1 Julai 2024 di tengah-tengah konflik yang berterusan di wilayah Palestin antara Israel dan Hamas. Foto AFP

TEL AVIV – Salah seorang perunding utama Israel berhubung perjanjian gencatan senjata dan tawanan, Brigedier Jeneral Oren Setter meletak jawatan, semalam.

Berkhidmat sebagai timbalan kepada Major Jeneral (B), Nitzan Allon, Setter memainkan peranan utama dalam mewujudkan rangka kerja rundingan, lapor KAN News.

Laporan membayangkan peletakan jawatan beliau kerana  kecewa terhadap kebuntuan rundingan yang menyasarkan gencatan senjata dan pertukaran tahanan dengan Hamas.

Ia berkata, para pegawai Israel telah dimaklumkan mengenai keputusan Setter itu beberapa hari lalu.

Para penganalisis berpendapat peletakan jawatan itu menggariskan kekurangan kemajuan rundingan yang bermakna, katanya.

Pengumuman dilakukan tidak lama selepas pejabat Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu mengesahkan kepulangan Ketua Mossad, David Barnea daripada lawatan 24 jam di Qatar, di mana beliau mengadakan perbincangan mengenai cadangan perjanjian tahanan Gaza.

Menurut Pejabat Netanyahu, Barnea di samping Pengarah Agensi Siasatan Pusat Amerika Syarikat, (CIA), Bill Burns dan Perdana Menteri Qatar, Mohammed bin Abdulrahman Al Thani mengkaji semula ‘satu cadangan penyatuan’ di Doha dengan mengambil kira ‘isu utama dan kemajuan terkini di rantau tersebut’.

“Kemajuan terkini’ mungkin merujuk kepada pembunuhan pemimpin Hamas, Yahya Sinwar di Gaza pada awal bulan ini, lapor The Times of Israel.

“Dalam masa beberapa hari, perbincangan antara orang tengah dan Hamas akan diteruskan bagi mengkaji kebolehlaksanaan dan meneruskan perbincangan untuk cuba mencapai perjanjian” menurut satu kenyataan.

Cadangan terkini termasuk rancangan yang dikemukakan Mesir yang diumumkan Presiden Abdel Fattah el-Sisi untuk mengadakan gencatan senjata selama dua hari di Gaza dan membebaskan empat tahanan Israel selain inisiatif Qatar-Amerika Syarikat yang menyasarkan pembebasan semua tahanan dan menamatkan peperangan di Jalur Gaza. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast